Jenayah

Hanya bermodalkan RM100

KUALA TERENGGANU – Hanya bermodalkan RM100, dua warga Myanmar mampu memiliki kad pelarian UNHCR palsu untuk bekerja di negara ini dalam tempoh hampir setahun.

Kedua-dua mereka yang berusia 18 dan 20 tahun itu mendakwa memperoleh kad berkenaan menerusi seorang rakan di Kedah, yang dipercayai menjadi orang tengah dalam urusan tersebut.

Perkara berkenaan berjaya dibongkar dalam satu operasi Ops Ikrar yang dijalankan Jabatan Imigresen Terengganu kira-kira jam 12 tengah malam di sekitar sektor pembinaan di Manir, di sini, dan kampung Gelugor, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Penguatkuasanya, Mohd Muda berkata, pihaknya berjaya mengesan kad pelarian tersebut palsu selepas mendapati nombor siri kad pelarian tersebut adalah sama dan tiada dalam pangkalan data Jabatan Imigresen.

“Selepas disoal siasat, kedua-dua mereka mendakwa membayar RM100 kepada salah seorang rakan yang menjadi orang tengah di Kedah, bagaimanapun mereka mendakwa tidak tahu kad pelarian itu diproses di mana.

“Namun, kita akan siasat secara terperinci berhubung dakwaan berkenaan bagi memastikan sindiket penyediaan kad pelarian palsu dapat ditumpaskan agar tidak berleluasa lagi,” katanya selepas tamat operasi.

Dalam operasi yang memakan masa lebih kurang tiga jam itu, seramai 18 buruh pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk empat remaja diberkas, yang terdiri daripada warga Myanmar, Indonesia dan Bangladesh kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Kata Mohd, hasil pemeriksaan mendapati, kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/1963.

“Dalam serbuan pertama, seramai 16 buruh asing termasuk remaja berusia 15 tahun dan 16 tahun bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan di Manir dikesan dan dua lagi dikesan dalam serbuan kedua di Kampung Gelugor.

“Dalam serbuan yang berakhir jam 3 pagi itu, seramai 58 buruh asing telah diperiksa melibatkan dua lokasi serbuan yang dinyatakan itu,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");