Membawang Hari Ini

Harga program TV masih ditakuk lama?

HARI ini, dapat dilihat pelbagai stesen televisyen (TV) swasta mahupun kerajaan bagaikan ‘berlumba-lumba’ menawarkan program TV yang terbaik demi menarik perhatian penonton.

Lihat saja, lambakan program realiti di pelbagai saluran TV. Tidak ketinggalan juga, dengan ‘persembahan’ bermacam-macam jenis drama dan telefilem.

Pun begitu, dalam keseronokan stesen TV mengejar ‘rating’, tersembunyi keluh-kesah penerbit mengenai isu harganya yang sehingga kini bagaikan tiada jalan penyelesaiannya.

Lebih malang, harga program TV seperti drama dan telefilem masih lagi berada di takuk lama meskipun isu ini sudah diperkatakan, sejak sekian lama.

Terbaharu, isu ini kembali hangat diperkatakan dalam satu acara dialog oleh lapan persatuan menerusi program Apa Lagi Industri Mahu? yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), baru-baru ini.

Acara dialog itu dihadiri lebih 150 ahli daripada lapan persatuan iaitu Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM), Persatuan Sinematografer Malaysia (MySC) dan Gabungan Industri Kandungan Kreatif (CCIG).

Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff memberitahu, warga produksi industri kreatif masih menerima bayaran seperti mana 20 tahun lalu.

Katanya, kajian terhadap isu ini harus dilakukan dalam kadar segera memandangkan keadaan ekonomi hari ini yang kian ‘nazak’.

“Ya, isu ini memang sudah lama.

“Hakikatnya, apabila kita bercakap tentang isu ini, sebenarnya ia memerlukan persetujuan di antara dua pihak iaitu penerbit dan stesen TV.

“Namun, perkara itu tidak terjadi,” katanya kepada Zass.

Jelasnya, sebelum ini, pernah ada perbincangan dengan stesen TV, namun tidak mendapat kata putus mengenai harga program.

“Pernah ada stesen TV mengatakan akan menaikkan kadar bayarannya, tetapi pembelian produk pula akan dikurangkan.

“Itu bermakna industri hiburan juga akan menerima tempiasnya lantaran ramai penerbit yang akan ‘gulung tikar’ akibat tidak dapat meneruskan perniagaan.

“Bahkan, peluang pekerjaan juga menjadi semakin terhad dan lebih menyedihkan apabila tiada lagi peluang pekerjaan buat warga industri kreatif,” katanya.

Menurutnya, perlu ada pelarasan harga bayaran standard yang dikenakan ke atas semua stesen di negara ini agar memudahkan penerbit menetapkan kadar baru bayaran kru sesebuah produksi.

“Selama ini, kita susah untuk menetapkan kadar bayaran tertentu kepada pekerja produksi kerana harga bayaran program TV adalah berbeza di antara sesebuah stesen.

“Sebab itu, kita bersepakat untuk meminta pelarasan harga standard bagi pembelian program TV agar memudahkan kita mengkaji bayaran gaji yang bersesuaian kepada pekerja produksi pada masa akan datang.

“Lebih-lebih lagi, kini kos sara hidup juga semakin meningkat saban tahun. Malah, itu juga yang disuarakan oleh rata-rata ahli yang mahukan gaji mereka dinaikkan seterusnya berbaloi dan setimpal dengan kerja yang dilakukan,” katanya.

Kata Jurey yang juga merupakan Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), sistem bayaran perlu dikuatkuasakan mengikut pasaran semasa demi memastikan produk TV dapat dihasilkan dengan lebih berkualiti.

“Lihat saja, keadaan ekonomi sekarang. Jadi, kita perlu segera mencari jalan penyelesaian.

“Siapa dan kuasa apa yang boleh membantu untuk menyelesaikannya?.

“Sebagai persatuan, kita tiada kuasa hendak memaksa atau mendesak. Apa yang kita boleh lakukan adalah dengan mengutarakan masalah ini seterusnya meminta agar stesen TV dapat mempertimbangkan semula kadar baru bayaran program TV,” katanya.

Sejak 1995, harga pembelian program TV dikeluarkan mengikut kehendak stesen televisyen masing-masing.

Bagi sebuah telefilem, sebut harga di Radio Televisyen Malaysia (RTM) adalah di antara RM100,000 hingga RM110,000, Media Prima (RM85,000 hingga RM89,000) dan Astro pula meletakkan harga RM80,000 hingga RM90,000.

Untuk drama 60 minit pula, penerbit akan mendapat bayaran RM40,000 hingga RM45,000 bagi RTM, Media Prima (RM35,000 hingga RM40,000) dan Astro (RM35,000 hingga RM40,000).

Finas perlu jadi orang tengah

Sehubungan itu, Jurey yang juga Pengerusi CCIG mencadangkan agar Finas menjadi orang tengah di antara penerbit dan stesen TV bagi mengatasi kemelut ini.

Malah, katanya, Finas juga ada menyarankan agar semua penerbit duduk berbincang dan mencari formula untuk menyelesaikan isu ini sebelum mengadakan pertemuan dengan stesen TV, menerusi sesi dialog Finas Bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia, baru-baru ini.

“Jika dilihat, sentimen ini begitu mendesak untuk diselesaikan apatah lagi dengan keadaan ekonomi yang semakin meruncing.

“Malah, keadaan itu juga boleh menyebabkan stesen TV tidak mahu menaikkan harga bayarannya.

“Jadi, situasi ini membuatkan kita semakin buntu bahkan tidak nampak jalan penyelesaiannya.

“Oleh sebab itu, kita memerlukan khidmat orang tengah di antara industri dan stesen TV, jadi secara peribadinya, kita merasakan Finas adalah yang paling sesuai,” katanya.

Katanya lagi, buat masa ini, semua persatuan sedang menyusun kadar harga yang ingin ditetapkan sebelum bersepakat menentukan amaun yang bersesuaian.

“Insya-ALLAH, kita akan duduk berbincang dan mengumpul data tentang cadangan kenaikan harga program TV, dalam masa terdekat.

“Kita akan berbincang untuk menentukan satu kadar harga yang munasabah kepada stesen TV.

“Hasil perbincangan itu nanti, kita akan suruh Finas menghantarnya ke stesen TV bagi menilai semula seterusnya mempertimbangkannya,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");