Sukan Hari Ini

Iskandar berikrar tidak lupa diri

PEMAIN perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin mengingatkan dirinya untuk terus kekal mempamerkan prestasi konsisten selepas memulakan kalendar badminton dengan langkah kanan.

Sebaliknya Iskandar mahu menjadikan keputusan itu motivasi untuk terus bekerja keras dalam usaha mencari lebih banyak kejayaan pada masa depan.

Beliau juga berjanji tidak akan lupa diri dalam usahanya bergelar pemain terbaik dunia suatu hari nanti.

“Saya kalau boleh tidak mahu orang terlalu memuji atau memberikan tekanan kepada saya. Apa yang saya harapkan hanya sokongan tidak kira ketika saya naik atau jatuh.

“Sekarang ini, saya sudah lebih jelas dengan perjalanan ini kerjaya saya berbanding dulu yang masih samar-samar. Sekarang peluang pun sudah banyak diberikan terutama daripada Pengarah Teknikal BAM (Persatuan Badminton Malaysia), Morten Frost Hansen dan saya mahu membalasnya,” katanya.

Pada aksi final Masters Malaysia bulan lalu, Iskandar muncul naib juara Grand Prix Emas Malaysia Masters selepas tewas kepada Datuk Lee Chong Wei 18-21, 11-21, namun walaupun tewas peningkatan prestasi dipamerkan pemain berusia 25 tahun itu mencuri tumpuan peminat tanah air.

Turun selaku pemain bukan pilihan, Iskandar melakar kejutan termasuk menyingkirkan pilihan keempat dari Korea Selatan, Son Wan Ho dan pilihan kedua dari India, K Srikanth untuk melangkah ke final.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, beliau tidak mahu fikirkan sangat mengenai pencapaian di Pulau Pinang (Masters Malaysia) sebaliknya tekad mengekalkan momentum yang sama.

“Kali ini saya lebih berkeyakinan tetapi saya tahu sekarang semua pemain mahu menewaskan saya, jadi perlu lebih bersedia, fokus dan berikan yang terbaik.

“Banyak pengajaran yang saya peroleh (selepas mara ke final Masters Malaysia), bagi saya yang puji itu racun dan kritikan sebagai ubat untuk berjaya,” tambah Iskandar.

Tekad baiki prestasi

Dalam pada itu, Iskandar turut memberitahu bahawa masih banyak yang perlu dipelajarinya andai bercita-cita bergelar jaguh dunia.

Biarpun mempamerkan peningkatan positif dalam aksi Grand Prix Emas Malaysia Master 2016 di Pulau Pinang, namun katanya itu tidak bermakna beliau boleh selesa dengan apa yang dicapai sekarang.

“Sejujurnya, saya gembira dengan apa yang saya raih ketika ini. Tapi masa sama saya perlu berusaha untuk meningkat ke tahap yang lebih baik.

“Perjalanan saya masih jauh, dan untuk mencapai kejayaan yang lebih besar saya perlu konsisten dan meningkatkan corak permainan,” ujarnya yang mengakui kecewa apabila gagal mengulangi pencapaian di Grand Prix Emas Malaysia Masters apabila tumpas kepada K Srikanth 21-9, 21-12 dalam pusingan ketiga Kejohanan Badminton Syed Modi 2016 di Lucknow, India, minggu lalu.

Mengulas prestasinya di India, Iskandar mengakui banyak kesilapan yang dilakukan sehingga membolehkan pihak lawan mengambil peluang itu memungut mata.

“Memang mengecewakan, tapi bukan rezeki saya di sana, Saya harap dapat bangkit untuk kejohanan selepas ini,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");