Sukan Hari Ini

Kerajaan Kelantan sedia beri kerjasama

KERAJAAN Kelantan sedia memberi kerjasama kepada Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Hasmiza Othman bagi membolehkan kerja membaik pulih dapat dilakukan ke atas padang Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood bagaimanapun berkata, pengasas Vida Beauty yang dikenali dengan nama panggilan Dr Vida itu perlu mendapatkan pengesahan daripada pakar penjagaan padang sebelum diberi kebenaran oleh kerajaan negeri.

“Kita sambut baik malah berlapang dada dalam perkara ini, asalkan Dr Vida mendapat nasihat atau pengesahan daripada pakar terlebih dahulu. Apa-apa sahaja yang beliau hendak buat, mesti rujuk kepada pakar.

“Tak ada masalah, kita sanggup (beri kerjasama) kalau warna merah jambu (cat stadium) pun kita beri (lulus), apatah lagi padang yang merupakan perkara paling utama untuk pastikan sesebuah pasukan itu memberikan persembahan terbaik,” katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai hasrat Dr Vida untuk membaik pulih permukaan padang tidak rata gelanggang keramat skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors itu.

Sinar Harian semalam melaporkan, jutawan kosmetik itu bersedia mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk merawat padang di stadium berusia 49 tahun itu bagi memastikan pemain tidak mengalami kecederaan semasa perlawanan berlangsung.

Menurutnya, pihaknya pernah bekerjasama dengan B Sathianathan bagi memastikan struktur padang stadium itu berada dalam keadaan terbaik ketika bekas jurulatih kebangsaan itu mengendalikan pasukan Kelantan di antara musim 2010 hingga 2011.

“Kita ambil pengalaman lalu bila nak baiki padang. Bukan sebarang pasir, hanya pasir tertentu sahaja boleh digunakan pada padang itu. Kawasan mana yang hendak dibaiki, semua maklumat ini perlu bagi memastikan kerja-kerja ini berjalan lancar.

“Benda yang melibatkan fizikal ini, kita kena dapatkan nasihat sebab kalau tengok dengan mata kasar mungkin kita nampak lain,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");