Berita Hari Ini

Kerjasama ATM-TNI Jadi Contoh Kepada Dunia – Hishammuddin

LUNDU: Pos Gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) menjadi contoh kepada dunia dalam kerjasama memerangi jenayah rentas sempadan dan ancaman keganasan antarabangsa, kata Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata ancaman pengganas seperti militan Daesh tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan kerajasama bersepadu peringkat antarabangsa untuk menangkisnya.

Katanya pengeboman yang dilakukan militan Daesh di Jakarta, Indonesia pada 14 Januari lepas serta kejadian keganasan di beberapa negara lain seharusnya menjadi iktibar bagi ATM mengadakan kerjasama dengan TNI.

Malaysia perlu memperkasa pertahanan dan keselamatannya untuk berdepan dengan pelbagai jenayah rentas sempadan dan ancaman pengganas terutamanya Daesh,” katanya pada sidang media selepas melawat Pos Gabungan Bersama ATM dan TNI di Biawak, yang terletak 103 kilometer dari Kuching, Jumaat.

Menurutnya kesemua negara Asean juga bersetuju untuk saling bekerjasama memerangi ancaman Daesh.

Bagi memperkukuh usaha mengawal persempadanan dan keselamatan negara, Hishammuddin mengumumkan penubuhan 31 Briged Sempadan di Bintulu, Sarawak bagi meningkatkan keupayaan tempur dan mengimbangi bebanan tugas pasukan-pasukan infantri di Sabah dan Sarawak serta penguasaan sempadan daratan sepanjang 2,019.5 km di antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan, Indonesia.

Penubuhan 31 Briged Sempadan merupakan satu lagi langkah pengukuhan terhadap keselamatan negara oleh Kementerian Pertahanan terutamanya persempadanan negeri Sarawak dan Kalimantan, jelasnya.
Briged berkenaan akan mengandungi lima batalion Rejimen Sempadan yang akan ditempatkan dari utara hingga selatan bagi mengawasi perbatasan (Kalimantan Barat dan Kalimantan Timur).

Antara peranan 31 Briged Sempadan ialah sebagai elemen pemerintah yang mentadbir dan memerintah unit-unitnya untuk melaksanakan operasi, latihan, pentadbiran harian serta bertanggungjawab mengawal keselamatan sempadan Malaysia-Kalimantan, Indonesia dari sebarang bentuk kegiatan pencerobohan, penyusupan, penyeludupan dan kegiatan jenayah.

Selain itu, ia juga membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa awam (PBA) di dalam menangani sebarang ancaman, bencana alam dan memberi lain-lain bantuan termasuk ketenteraman awam.

Briged ini akan bertanggungjawab membuat perancangan, koordinasi serta menyediakan segala keperluan dan kemudahan apabila perjawatan rasmi diterima daripada Jabatan Perkhidmatan Awam, katanya.

Hishammuddin berkata penubuhan 31 Briged membolehkan 1,021 anggota tentera Wataniah diserap sebagai anggota sepenuh masa di bawah briged itu dan mendapat manfaat sama seperti anggota tentera lain termasuk gaji bulanan, elaun dan kemudahan lain.

Beliau berkata bilangan anggota itu akan bertambah secara berperingkat bagi memenuhi keperluan dan kekuatan penuh anggota keseluruhan briged iaitu seramai 5,626 orang.

Inisiatif yang diambil ini bukan sahaja memperkukuh kawalan sempadan negara khususnya di Sarawak tetapi secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan tetap kepada lebih 5,000 orang, katanya.

Menurutnya pengambilan anggota berasal dari Sarawak untuk diserap dalam Briged itu kerana mereka mempunyai pengetahuan umum tentang negeri itu, yang sekali gus memberi kelebihan kepada batalion-batalion di bawah 31 Briged.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");