Sukan Hari Ini

KFA kembali jual tiket sendiri

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) kembali mengambil alih jualan tiket dan pas bermusim dari Perbadanan Stadium-stadium Kedah bermula musim 2016 selepas diputuskan dalam mesyuarat persatuan itu, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk KFA, Shaharol Niza Omar berkata, persatuan tersebut menguruskan semula jualan tiket membabitkan pas bermusim dan juga jualan tiket online sepanjang musim ini.

Menurutnya, tugas pertama jawatankuasanya adalah untuk menguruskan jualan pas bermusim bernilai RM500 dan sebanyak 120 pas diperuntukkan, jika mendapat permintaan bilangannya akan ditambah lagi.

“Pas bermusim itu melibatkan semua perlawanan Kedah untuk aksi Liga Malaysia 2016 iaitu melibatkan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

“Pemilik pas akan dijamin tempat duduknya kerana setiap kerusi itu mempunyai nombor khas dan pemegang akan duduk di kerusi yang sama sepanjang musim.

Pas bermusim boleh dipindah milik atau diganti jika pemegang kad tidak dapat hadir pada sesuatu perlawanan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagi musim 2015, Perbadanan Stadium-stadium Kedah sudah diamanahkan bagi menyelia urusan Stadium Darul Aman termasuk jualan tiket bagi perlawanan bola sepak untuk pasukan Hijau Kuning.

Shaharol Niza berkata, pas bermusim itu sudah pun mula dijualkan sejak 21 Februari lalu di Pejabat KFA di Stadium Darul Aman.

Dalam pada itu katanya, bagi jualan tiket pula sebanyak lapan kaunter tiket termasuk satu kaunter tiket khas untuk wanita akan dibuka pada setiap hari perlawanan bagi mengelakkan penonton beratur panjang dan menunggu lama untuk membeli tiket.

“Buat permulaan, kami akan jual tiket pada hari perlawanan tapi jika memerlukan KFA menjual sehari lebih awal apabila perlawanan itu menarik dan menjadi tumpuan, persatuan akan maklumkan kepada penyokong,” katanya.

Bagi jualan tiket online pula, KFA dengan kerjasama tiketbola.com menyasarkan untuk menjual sebanyak 10,000 tiket pada setiap perlawanan sepanjang musim ini.

“KFA menggalakkan penyokong Hijau Kuning membeli tiket secara online kerana cara alternatif ini lebih cepat dan tidak memerlukan peminat untuk beratur panjang,” katanya.-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");