Membawang Hari Ini

Konsert U: Kongsi suka duka M Nasir, Ramli Sarip

UNIVERSITI Kuala Lumpur (UniKL), kampus Alor Gajah, Melaka menjadi lokasi pertama penjelajahan dua ikon terkenal, Datuk Ramli Sarip dan Datuk M Nasir demi menjayakan Ramli Sarip & M Nasir University Tour 2016.

Konsert itu bakal diadakan di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, Melaka, jam 8.30 malam pada 27 Februari ini.

Menurut Ramli, siri jelajah itu tidak sekadar mengadakan persembahan sebaliknya akan berkongsi falsafah, kisah suka dan duka serta hala tuju dalam bidang muzik kepada pelajar di setiap lokasi terpilih.

“Selain konsert, kami akan terlibat dalam program Wacana Seni Muzik iaitu aktiviti perbahasan di antara kami dengan pelajar pada sebelah siangnya.

“Kami bukan sahaja ingin menghiburkan peminat tetapi ingin berkongsi pengalaman, memberi semangat seterusnya mengajak mahasiswa menjadi kreatif dalam apa jua bidang yang mereka ceburi,” katanya pada Zass.

Malah, katanya, menerusi penganjuran itu juga, persembahan jelajah itu akan diteruskan di tujuh universiti lain di seluruh negara seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Kami mahu konsert jelajah ini nanti menjadi medan ilmu kepada mahasiswa yang hadir dan ia bukan hiburan kosong semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu, M Nasir mengakui teruja dapat bergandingan dengan Ramli dan menyifatkan penglibatannya dalam program seumpama itu sungguh bermanfaat.

“Seingat saya kali terakhir kami berkongsi pentas mengadakan konsert di universiti pada 1982 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan konsert jelajah kali ini pasti mengimbau banyak kenangan,” katanya.

Untuk konsert kali ini, harga tiket yang disediakan ialah RM50 untuk pelajar manakala RM70 bagi orang awam.

Bagi mereka yang berminat, boleh melayari laman web www.iramawarisan.com untuk keterangan lanjut.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");