Perak Hari Ini

‘Maaf Buat Penyokong Perak’

IPOH: Pengurus pasukan Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya memohon maaf kepada para penyokong Skuad The Bos Gaurus (TBG) berikutan kekalahan pasukan itu menentang Selangor di Stadium Perak, malam tadi.

Shahrul juga turut memohon maaf kepada para pemain kerana selaku seorang pengurus pasukan, beliau tidak sepatutnya menjadi orang yang paling kecewa sekali selepas perlawanan malam tadi.

“Benar saya adalah pengurus pasukan Perak, tetapi saya juga adalah penyokong Perak selama 45 tahun. Benar sebagai pengurus, saya menyatakan bahawa kita sedang membina semula pasukan.

“Kita memerlukan masa tiga tahun untuk sampai ke puncak, tetapi sebagai seorang penyokong biasa, saya tidak dapat lari daripada menaruh harapan untuk kita sentiasa dilihat memberikan yang terbaik dan mencapai kemenangan,”katanya menerusi catatan terbaru di Facebooknya, hari ini.

Tambahnya lagi, sebagai seorang penyokong, beliau tidak dapat lari daripada bersangka bahawa para pemain tidak memberikan yang terbaik apabila pasukan Perak tewas kepada Selangor dengan jaringan 1-0.

“Tetapi sebagai pengurus yang telah bersama-sama dengan pemain-pemain pagi petang siang malam, saya tahu bahawa sesungguhnya pemain-pemain telah cuba memberikan yang terbaik.

“Keadaan di dalam bilik persalinan selepas perlawanan malam tadi menginsafkan saya betapa sebenarnya pemain-pemain telah cuba sedaya upaya mereka.

“Patah hati saya melihat Kenny (D Kenny Pallraj) yang bergenang air mata menyalahkan dirinya atas kekalahan pasukan. Begitu juga dengan anak-anak buah saya yang lain membisu seribu bahasa mengetahui kami telah mengecewakan harapan puluhan ribu penyokong setia Perak,”ujarnya.

Kata Shahrul lagi, tidak ada pemain, jurulatih atau pegawai pasukan yang mahukan pasukannya berhadapan dengan kekalahan.

“Namun saya hanyalah seorang penyokong biasa yang baru belajar untuk mengurus pasukan.

“Saya dan kita semua akan belajar daripada kesilapan kita untuk bangkit semula daripada kejatuhan ini,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");