Membawang Hari Ini

Merpati nak terbang tinggi

Berbanding band lain dari Indonesia, nama Merpati belum cukup dikenali di Malaysia.

Namun, semangat band yang ditubuhkan pada 2002 ini tidak pernah padam, bahkan masih membara untuk terus membawa nama mereka keluar dari Indonesia.

Berkesempatan bertemu mereka di Jakarta, baru-baru ini, Merpati yang dianggotai Rani (penyanyi), Andi (penyanyi, gitar), Liez (gitar), Ayus (bass) dan Boegil (dram) meluahkan impian mereka untuk menembusi pasaran muzik Malaysia.

“Apabila melihat rakan-rakan band lain dari Indonesia menerjah dalam pasaran muzik Malaysia, kami semakin bersemangat dan sentiasa berusaha untuk cuba mendapatkan tempat.

“Ada perancangan untuk ke Malaysia, namun kami masih mencari masa dan karya yang sesuai untuk dibawa,” kata Andi.

Menurut Andi, satu sebab kenapa Merpati ingin dikenali di Malaysia adalah kerana mereka mempunyai peminat di sini.

“Kami sendiri terkejut apabila ada dalam kalangan peminat kami berasal dari Malaysia. Jadi, dari situ kami sudah mula nampak hala tuju Merpati dan yakin kami boleh melangkah lebih jauh,” katanya.

Mengetengahkan konsep lagu dialog, Merpati yang popular dengan lagu Tak Rela ini tampil berbeza dengan band lain apabila menjadikan penyanyi wanita sebagai teraju utama.

“Berbeza dengan band lain, kami menampilkan dua penyanyi yang menyampaikan lagu secara berduet. Ini kekuatan dan keunikan yang ada pada Merpati,” katanya.

Tahun ini, Merpati dalam proses perbincangan untuk menghasilkan album ketiga mereka yang berkonsepkan kesetiaan dan kasih sayang.

Dalam pada itu, mereka tidak kisah sekiranya dilabel sebagai band yang hanya diminati golongan bawahan.

“Bagi kami, karya kami kebanyakannya dekat dengan pendengar dan bercerita mengenai kehidupan dalam masyarakat. Kebanyakan respons kami terima adalah daripada peminat dalam kalangan golongan bawahan.

“Sekiranya mereka terus memberi sokongan, kami tidak kisah sekiranya dilabel sebagai band untuk golongan bawahan. Apa yang penting ialah kami ingin terus kekal relevan dalam industri muzik,” kata Rani.

Siapa sangka, Merpati kini mempunyai beberapa kelab peminat dari setiap daerah utama di Indonesia.

“Mungkin kerana kami sering berinteraksi dengan peminat di media sosial, mereka yakin dan tidak pernah putus menyokong kami.

“Satu lagi cara terbaik untuk kami menghargai peminat Merpati ialah dengan mengadakan pelbagai aktiviti menarik yang boleh disertai semua peminat,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");