Isu Panas

Pas tetap utuh, terus bersatu

KUALA KANGSAR – Setahun selepas pemergian bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, parti itu dihimpit pelbagai isu besar, terutama berhubung penyatuan dalam kalangan ahli.

Anak Allahyarham, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berpendapat, antara kekuatan arwah bapanya adalah berjaya menyatukan semua ahli Pas, walaupun mereka berbeza pendapat.

Menurutnya, selepas pemergian Allahyarham, beberapa aliran baru mula menonjolkan menyebabkan bibit-bibit perpecahan mula kelihatan dalam parti.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Mas itu tidak melihat ia masalah besar kerana kini penyatuan kembali wujud dalam Pas malah kini semakin diterima masyarakat.

“Apa yang Pas hadapi itu bukanlah suatu perkara yang begitu besar. Bukanlah bila Tok Guru pergi, ia bermakna Pas tidak kuat tetapi ALLAH ganti dengan cara lain yang kita tidak jangka.

“Unsur-unsur yang tidak sihat terdedah secara zahir selepas ketiadaan Tok Guru.

Mereka mula menunjukkan satu sikap yang bertentangan dengan suara ramai dalam parti.

“Jadi, caranya, suara-suara yang tidak sehaluan dengan Pas dikeluarkan daripada Jemaah Pas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Teh Tarik Session di Chandan Puteri, kelmarin. Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas berkata, ketiadaan pemimpin berlainan aliran pemikiran membuatkan Pas kini kembali bersatu seperti di bawah pimpinan Tok Guru.

“Dulu mereka bersatu, kini Pas masih lagi bersatu. Yang nak pergi, pergilah, Pas tidak akan rugi. Zaman Tok Guru, bersatu cara dia, zaman sekarang bersatu cara lain pula,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memegang teguh nasihat arwah bapanya yang mahu umat Islam tidak memisahkan agama dengan politik.

Katanya, ajaran itu ditanam kepada rakyat Kelantan serta Malaysia dan Pas akan terus berpegang prinsip tersebut.

“Tok Guru sering tekankan bahawa antara kewajipan besar umat Islam adalah jangan pisahkan agama dengan politik. Pas akan teruskan perjuangan ini iaitu Islam sebagai agama menyeluruh, mesti dibawa ke dalam masyarakat dengan sempurna.

“Jika tidak, masyarakat akan menerima Islam dengan cara salah,” jelasnya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");