Berita Hari Ini

Pendeposit Tabung Haji tidak perlu bimbang

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan pelaburannya dalam saham Felda Global Venture Berhad (FGV) adalah pelaburan strategik jangka panjang di dalam salah satu sektor pelaburan terasnya.

TH berkata, pasaran harga komoditi minyak sawit dunia telah mencatat penurunan yang drastik.

“Ini menyebabkan syarikat berasaskan komoditi terjejas secara langsung dan memberi kesan negatif kepada kaunter-kaunter sektor perladangan.

“Kejatuhan harga komoditi dunia adalah di luar kawalan kerana ia ditentukan oleh kuasa pasaran sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pendeposit tidak perlu bimbang kerana wang mereka di TH tidak hilang seperti yang diwar-warkan kerana simpanan mereka adalah dijamin.

Semalam Sinar Harian melaporkan, Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli mendakwa pengurusan TH gagal melindungi dana pendeposit RM1.3 bilion yang dilaburkan dalam FGV walaupun harga saham menunjukkan penurunan dari 2012 hingga 2015.

Menurutnya, tindakan TH tidak berbuat apa-apa ketika harga pegangan sahamnya dalam FGV yang ketiga terbesar berjumlah 7.7 peratus sejak 31 Disember 2015, menyebabkan ia kerugian sehingga RM933 juta.

Kata Rafizi, penjualan saham FGV oleh pengurus dana TH sama ada Maybank, AmInvest atau CIMB pada 12 Julai 2012 sebanyak 750,000 sangat kecil dan tidak menjejaskan pegangan keseluruhan TH dalam FGV.

“Sepanjang TH terlibat dalam FGV, keuntungan hasil penjualan saham FGV hanya RM7.6 juta iaitu terlalu sedikit berbanding jumlah terkumpul dibayar TH untuk membeli saham-saham FGV iaitu RM1.3 bilion,” katanya.

Tegasnya, sikap berdiam diri TH yang tidak melindungi dana pendeposit dalam keadaan pelaburan dalam FGV merugikan bukan sifat profesional yang biasa ditunjukkan sebuah institusi pelaburan antarabangsa.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");