Berita Hari Ini

Pengguna internet dinasihat amal tapisan kendiri

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menasihatkan pengguna internet untuk mengamalkan pendekatan ‘self-censorship’ atau tapisan kendiri serta menentukan kesahihan sesuatu maklumat yang dikongsi melalui media sosial.

Beliau berkata pengguna tidak seharusnya hanya menekan butang, ‘like’ dan berkongsi secara membuta tuli memandangkan memuat naik dan berkongsi maklumat tidak sahih akan mengundang masalah kepada pengguna.

“Terdapat implikasi etika dan undang-undang apabila seseorang berkongsi berita dan maklumat tidak sahih secara dalam talian,” katanya dalam catatan terbarunya dalam blog beliau, sskeruak.blogspot.my hari ini.

Menurut Salleh pengguna internet perlu memahami setiap maklumat di sebalik tajuk berita atau kebenaran sesuatu berita.

“Sepertimana amaran pakar penipuan laman media sosial ‘Jika ianya terlalu bagus, ia berkemungkinan suatu penipuan’,” katanya.

Salleh turut memberi beberapa contoh berita palsu yang disebarkan di media sosial seperti kes peras ugut di Sarikei, Sarawak bulan lepas yang diviralkan.

Selain itu, Salleh berkata catatan viral mengenai ‘Apai Nyamun’ iaitu kejadian culik dan bunuh beberapa penghuni rumah panjang di Bintulu, Tatau dan Mukah untuk mendapatkan kepala dan organ badan mereka, namun siasatan polis mendapati kes berkenaan tidak wujud.

“Catatan tidak bertanggungjawab seumpama ini hanya menimbulkan kekeliruan yang tidak sepatutnya, kebimbangan serta beberapa kes keterlaluan, panik dan rasa takut dalam kalangan masyarakat umum,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan pengguna internet agar tidak sewenang-wenangnya ‘like’ atau berkongsi maklumat meragukan di media sosial yang berkemungkinan dihantar ‘scammers’ (penipu).

“Kebanyakan catatan dilihat tidak menimbulkan kemudaratan – catatan yang meminta pengguna internet untuk ‘like’ dan kongsi gambar bagi memenangi hadiah berupa iPad atau ‘like’ sesuatu catatan jika membenci kanser, sebagai contoh.

“Ribuan gambar yang dikongsi itu akan disebarkan. Sedangkan kebanyakan pengguna internet menganggap perkongsian catatan di laman media sosial mereka tidak mendatangkan kemudaratan, bagaimanapun terdapat impak negatif yang mereka tidak sedar,” katanya.

Salleh berkata terdapat kaedah digunakan ‘scammers’ untuk mendapatkan ‘like’ dan perkongsian berita palsu serta pautan dalam talian bagi meningkatkan perhatian pengguna laman Facebook yang kemudiannya dijual kepada mana-mana syarikat pemasaran malah lebih buruk lagi apabila ia digunakan bagi membantu meningkatkan penyebaran penipuan yang menguntungkan mereka.

“Ia boleh membawa kepada kewujudan virus yang mampu menyahaktifkan akaun laman sosial anda. Ia akan meminta anda memasukkan maklumat kad kredit bagi mengaktifkan semula akaun laman sosial anda.

“Menyebarkan maklumat palsu menyebabkan anda terdedah kepada virus yang akan mencuri maklumat peribadi anda,” katanya.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");