Membawang Hari Ini

Pertahan identiti bangsa

Berpakaian busana Melayu dengan tengkolok di kepala dan bersamping seperti pahlawan Melayu zaman dahulu sudah menjadi identiti kumpulan Dendang Anak yang memperjuangkan muzik Melayu Nusantara sejak tahun 2000.

Walaupun terpaksa bersaing dengan pelbagai muzik moden, kumpulan yang dianggotai 20 pemuzik moden dan tradisional ini tetap bertahan dengan konsep muzik sedemikian.

Tujuannya ialah supaya generasi kini dan masa akan datang tidak lupa dengan asal usul budaya dan muzik Melayu.

Seorang anggotanya, Zulkifli Mohd Zain, 39, berkata, jika muzik Melayu Nusantara tidak dipertahankan, lama-kelamaan tidak mustahil generasi akan datang boleh lupa akan kewujudan muzik ini.

“Kami tetap teguh mempertahankan muzik Melayu Nusantara supaya tidak luput ditelan zaman. Saya berharap generasi muda masa kini buka mata serta bersama kami mempopularkan muzik ini kembali,” katanya.

Zulkifli berkata, lagu daripada Dendang Anak berkisah mengenai sejarah, nasihat, seloka, keagamaan yang tersurat dan tersirat serta mendaulatkan raja Melayu yang menjadi lambang keagungan bangsa sejak zaman dahulu.

Antara lagu yang sering dipersembahkan ialah Melayu Sejati, Usul Bangsa, Marhaban Di Bumi Perak, Syair DiRaja dan Bujang Terlajak Di Negeri Perak.

Dendang Anak ditemui ketika mengadakan persembahan di Pusat Seni Sarang di Tanjung Malim, Perak yang diusahakan pengarah filem popular Mamat Khalid, baru-baru ini.

Persembahan yang diadakan sempena lawatan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan ke Sarang berjaya menghiburkan tetamu.

Imej mereka serta muzik yang terhasil daripada gabungan alat muzik moden dan tradisional menarik perhatian tetamu yang hadir.

Mereka ialah kumpulan Dendang Anak cawangan negeri Perak yang berpangkalan di Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri.

Mereka kini bernaung di bawah Persatuan Kebudayaan & Muzik Melayu Nusantara Malaysia yang ditubuhkan pada 2000.

Seorang lagi anggota Dendang Anak, Farul Hisyam Abdul Halim, 37, berkata, melalui lagu berkenaan mereka juga mahu mengembalikan semula identiti bangsa supaya generasi muda kini tahu bangsa Melayu mempunyai identiti yang cukup dihormati dan disegani satu ketika dulu.

Dalam pada itu, keahlian kumpulan ini terbuka kepada sesiapa saja yang berminat dan bukan hanya untuk golongan tertentu.

“Paling penting mereka mempunyai minat mendalam dalam irama muzik Melayu Nusantara,”katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");