Berita Hari Ini

PUNB sedia bantu usahawan digital

PASIR PUTEH – Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memperuntukkan RM175 juta untuk pinjaman kepada usahawan berdaya maju, termasuk usahawan digital sepanjang tahun ini.

Pengerusi, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam berkata, pinjaman sehingga RM100,000 untuk setiap orang itu membuktikan keprihatinan kerajaan membantu golongan usahawan.

Menurutnya, walaupun peruntukan itu berkurang berbanding RM250 juta tahun lepas, namun ia perlu dimanfaatkan usahawan yang berminat dalam perniagaan dan mempunyai perkhidmatan atau produk berdaya maju.

“Tahun lepas ia beri manfaat kepada 632 usahawan di seluruh negara dengan sebahagian besar daripada mereka mencipta kejayaan memberangsangkan dalam perniagaan,” katanya selepas merasmikan Seminar Transformasi e-Usahawan Digital Parlimen Pasir Puteh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa, Selising, dekat sini, semalam.

Program anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat Adun Selising, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDec), Pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) serta PUNB itu turut dihadiri Adun Selising, Zulkifle Ali dan Pengarah Pembangunan Komuniti Belia MDec, Sumitra Nair.

Menurut Mohd Ali, Seminar Transformasi e-Usahawan Digital membantu melahirkan lebih ramai usahawan yang berniaga secara atas talian.

“Kita harap seminar ini membantu melahirkan 150 usahawan digital di seluruh negara atau 10 usahawan di setiap negeri tahun ini. Kita menyediakan kemudahan pinjaman, asalkan peserta mempunyai syarikat yang berdaftar dan nama tidak disenaraihitamkan,” katanya.

Sementara itu, Sumitra berkata, Seminar Transformasi e-Usahawan Digital kali ini berjaya menarik seramai 500 peserta.

Katanya lagi, pihaknya menumpukan kepada pembangunan usahawan mikro tahun ini dengan menerokai perniagaan secara atas talian bagi menghadapi era globalisasi.

“Program di Selising ini merupakan program kedua selepas program perintis di Jeli tahun lepas mencapai kejayaan memberangsangkan. Ia juga merupakan inisiatif YB Zulkifle yang sudah lama mengikut perkembangan ini. Beliau bawa ke Selising dengan menggunakan tema ‘Maghi Nego Caro Baru Selising Kito’,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");