Berita Hari Ini

Rafidah gesa kerajaan jelaskan isu pengambilan pekerja asing

SHAH ALAM – Bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz menggesa kerajaan agar menghentikan polemik dan pendebatan pengambilan pekerja asing, sebaliknya menjelaskan isu sebenar kepada rakyat.

Katanya, sejak keputusan ‘flip-flop’ kerajaan berhubung isu kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh, ia terus dipolemikkan dan pendebatan mengenainya tidak pernah berkesudahan.

“Mereka yang bertanya dianggap sebagai ‘gila talak’, anti kerajaan, anti Umno, sedangkan separuh abad saya berkhidmat untuk Umno, di mana ketika itu ramai pemimpin muda pada hari ini (dalam Umno) masih berada di ‘tadika’.

“Hanya kawan sebenar sanggup menghulur leher bagi memberitahu perkara sebenarnya. Seseorang boleh mempunyai ramai kawan yang hanya berkata mengikut kehendak seseorang itu mahu dan lebih suka mendengar tetapi kemudian menanggung akibatnya,” katanya dalam status di laman Facebooknya, semalam.

Bekas menteri Kabinet itu turut mempersoalkan sejak bila pandangan yang berbeza dianggap sebagai anti-kerajaan.

“Ingat kisah ‘maharaja tanpa baju’? Kita tidak mahu melihat kerajaan berdepan dengan masalah yang tidak perlu hanya kerana keputusan dan pengumuman yang menimbulkan kebimbangan dan boleh dieksploitasi pihak musuh.

“Saya tidak pernah membenarkan diri saya menjadi pak turut kepada sesiapa. Ia tercatat dalam rekod saya,” katanya.

Rafidah bagaimanapun tidak berminat untuk kembali aktif dalam politik mahupun kerajaan jika tiada keperluan.

“Tetapi ini tidak bermakna saya, sebagai rakyat jelata, saya tidak boleh menyuarakan pendapat saya, terutamanya apabila terdapat isu-isu membabitkan kepentingan awam.

“Seperti orang lain, saya juga keliru dan tidak memahami apa yang berlaku kerana keputusan yang sering berubah-ubah,” katanya.

Rafidah berharap individu dalam kerajaan tidak lagi memberi pandangan atau penjelasan yang bercanggah dengan kehendak kerajaan.

“Apa yang penting adalah berkomunikasi dan berbincang dengan semua pihak sebelum memutuskan sebarang perkara. Lantik seorang atau mana-mana menteri untuk mengumumkan sebarang dasar kerajaan.

“Ini soal tanggungjawab. Setiap individu perlu menggembleng usaha dan pemikiran untuk menjadikan setiap dasar adalah yang terbaik. Apabila negara ditadbir dengan baik barulah keyakinan awam dapat dipulihkan,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");