Isu Panas

RM1.3j untuk komuniti Cina, Siam

TANAH MERAH – Umno Tanah Merah meneruskan polisi tidak pilih kasih dalam membantu rakyat apabila meluluskan peruntukan sebanyak RM1.3 juta bagi menjaga kepentingan masyarakat Cina dan Siam di kawasan parlimen ini.

Ketua, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, peruntukan itu akan disalurkan kepada tiga kampung yang majoriti penduduk merupakan komuniti Cina dan dua kampung dihuni majoriti penduduk berketurunan Siam.

Menurutnya, lima kampung yang akan menerima agihan peruntukan itu ialah Jelatok, Taman Yap Boon Yang (Taman Tanah Merah), Pasir Panji, Kampung Muring dan Berchang.

“Peruntukan ini bagi memenuhi keperluan penduduk kampung terbabit, termasuk menyediakan kemudahan asas seperti dewan orang ramai, taman permainan kanak-kanak, gelanggang badminton dan baik pulih jambatan. Semua projek menggunakan peruntukan ini akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program Sambutan Tahun Baharu Cina 2016 sempena Pemberian Angpau kepada Warga Emas Cina dan Siam di dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Cheng, kelmarin.

Dalam majlis yang menjadi tradisi tahunan Umno Tanah Merah setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina itu, hampir 2,000 warga emas dalam kalangan penduduk Cina dan Siam menerima angpau serta cenderahati sumbangan Ikmal Hisham. Turut menerima angpau, kira-kira 1,000 murid SJKC Yuk Cheng.

Dalam ucapan perasmian, Ikmal Hisham yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah turut meluluskan sumbangan RM10,000 untuk sekolah berkenaan.

Hadir sama, Pengerusi MCA Tanah Merah, Lai Yuan Meng; Pengerusi Gerakan Tanah Merah, Eh Boon Eh Noi; Ketua Wanita Umno Tanah Merah, Dayang Saniah Awang Hamid dan Ketua Pemuda Umno bahagian itu, Mohd Almidi Jaafar.

Ikmal Hisham berkata, peruntukan itu jelas membuktikan masyarakat bukan Melayu di kawasan parlimen ini tidak disisihkan, selaras polisi yang tidak mengira latar belakang agama, politik atau kaum dalam membantu rakyat.

“Apabila saya kata kita bantu semua tanpa ada pilih kasih dan tidak kira latar belakang, maka saya luluskan peruntukan RM1.3 juta untuk diagihkan kepada lima kampung ini yang majoriti penduduknya adalah komuniti Tionghoa dan Siam.

“Pelbagai bantuan disalurkan kepada masyarakat Cina dan Siam ini sebagai tanda terima kasih serta penghargaan atas sokongan mereka sehingga saya menang kerusi parlimen pada PRU13 yang lalu,” katanya.

Menurutnya lagi, sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini, sebanyak 2,000 kotak limau dan air kordial turut diagihkan kepada komuniti Cina dan Siam di seluruh kawasan parlimen ini menjelang perayaan itu.

“Amalan saya tolong semua ini juga sama untuk bantuan lain seperti baik pulih rumah dan bantuan pelajar cemerlang lanjutkan pelajaran. Semua komuniti akan dapat sama ada Melayu, Cina, Siam atau India,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");