Panasnya Hari Ini

Siasat Pendedahan Muhyiddin Berkaitan Isu SRC – AMANAH

Gambar:- Free Malaysia Today

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) mencadangkan agar satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan yang dibuat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu berkaitan dengan SRC International.

Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH, Hanipa Maidin berkata, ia merupakan satu langkah yang perlu dilakukan bagi memastikan badan berkenaan bebas dan telus selain daripada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tegasnya, hal ini bagi memastikan supaya siasatan dapat dilakukan dengan lebih telus, mendalam dan berkesan terhadap pendedahan terbaharu yang dibuat oleh Muhyiddin berkenaan.

“Suruhanjaya itu perlu dianggotai oleh mereka yang benar-benar bebas dan berintegriti supaya kebenaran dapat dikenal pasti dan ditegakkan,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih lagi tidak didakwa meskipun wujud bukti yang kukuh daripada pendedahan yang dibuat oleh Muhyiddin.

Beliau juga berasa hairan berikutan selepas pendedahan berkenaan dibuat, Muhyiddin dan bekas peguam negara juga dipecat dan ditamatkan perkhidmatannya.

“Dengan pendedahan baru Muhyiddin mengenai isu SRC International ini, ia menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena.

“Mengapakah dalam keadaan wujudnya bukti dan keterangan yang kuat untuk mendakwa perdana menteri, tiba tiba bukan sahaja beliau tidak didakwa sebaliknya mantan peguam negara dan mantan timbalan perdana menteri ditamatkan perkhidmatannya?

“Adakah ada campur tangan daripada pihak tertentu sehingga pendakwaan ke atas perdana menteri tidak dilakukan?,” soal beliau, lapor Free Malaysia Today lagi.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan tentang kemana hasil siasatan sekiranya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM melakukan penyiasatan terhadap dakwaan tersebut.

“Oleh yang demikian, saya percaya perlunya satu badan lain yang benar-benar bebas dan telus iaitu selain polis dan SPRM, yang perlu membuat siasatan pendedahan terbaru Muhyiddin tersebut supaya siasatan dapat dibuat dengan lebih telus, mendalam dan berkesan,” tegasnya.

Terdahulu, Muhyiddin berkata, Abdul Gani telah menunjukkan bukti kepada beliau mengenai wang yang masuk ke akaun peribadi Najib dari syarikat SRC International dan mengesahkannya sebagai satu perbuatan jenayah.

Walaubagaimanapun, Gani enggan mengulas mengenai dakwaan berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");