Membawang Hari Ini

Sokongan Michelle Yeoh semarakkan ABPBH

KUALA LUMPUR: #RESPEK yang diangkat sebagai tema penganjuran acara berprestij, Anugerah Bintang Popular BH 29 (ABPBH29) semakin mendapat perhatian penggiat seni.

Terbaharu, penerbit dan pelakon yang mencipta nama di Hollywood, Tan Sri Michelle Yeoh turut menyatakan sokongannya kepada acara yang mendekati kemuncak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 8 Mei depan.

Bintang kelahiran Ipoh, Perak yang menembusi Hollywood menerusi filem, James Bond: Tomorrow Never Dies itu menyatakan sokongannya menerusi rakaman video berdurasi tujuh saat.

Dalam rakaman terbabit, Yeoh turut melakukan isyarat tangan sebagai simbol tema #RESPEK sekali gus menghangatkan lagi bahang acara hiburan tahunan terunggul itu.

Sokongan itu dinyatakan Yeoh yang ditemui ketika majlis perlantikannya sebagai duta program Keselamatan Jalan Raya Safe Steps, di sini, petang tadi.

Semarak penganjuran ABPBH 29 mula dirasai sejak Khamis lalu apabila rakaman video pasangan pengantin baharu, Akim Ahmad dan Stacy Anam memperkenalkan tema acara berprestij itu menjadi viral di laman sosial.

Video itu bukan saja dikongsi kelab peminat mereka, malah turut menarik perhatian pengikut setia ABPBH yang sentiasa menanti perkembangan terbaharu acara terbabit.

Rakaman video yang sama turut dilakukan pemenang Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu Ke-30, Dayang Nurfaizah dan mencatat jumlah tontonan hebat sekali gus menyemarakkan lagi kehangatan acara yang mempertandingkan 13 kategori utama, termasuk Bintang Paling Popular.

Sementara itu, Yeoh ketika mengulas perlantikannya sebagai duta kempen Keselamatan Jalan Raya Safe Steps berkata, isu terbabit sering mencetus kebimbangan dalam dirinya terutama apabila melihat ramai yang terkorban dan cedera disebabkan kecuaian ketika di jalan raya.

“Saya terdorong untuk menyertai kempen ini selepas melihat statistik kemalangan jalan raya yang menyebabkan purata antara 6,000 hingga 7,000 kematian direkodkan setiap tahun di Malaysia.

“Sebagai pelopor Tindakan Sedekad Keselamatan Jalan Raya untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), saya bangga untuk mempromosikan sama kempen di Asia – tanah kelahiran sendiri. Menerusi mesej yang dibawa, setiap kita mampu memainkan peranan dalam usaha menyelamatkan nyawa,” katanya.

Yeoh juga menyeru pengguna jalan raya supaya mematuhi langkah keselamatan setiap kali berada di jalan raya seperti larangan memandu dalam keadaan mabuk, bermain telefon bimbit, memakai tali pinggang keledar, mengawasi had kelajuan pemanduan, motosikal dan pejalan kaki.

Yeoh yang komited dalam kempen keselamatan jalan raya sejak tahun 2008 berkata, mesej itu juga perlu diterapkan kepada golongan muda bermula di institusi persekolahan.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");