Perak Hari Ini

TPPA Tidak Sama Seperti Perjanjian Pangkor

BAGAN SERAI: Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali menyifatkan keputusan kerajaan Malaysia menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di New Zealand, sama sekali tidak akan mengulangi kesan daripada Perjanjian Pangkor yang pernah dilakukan oleh pembesar Melayu, suatu ketika dahulu.

Noor Azmi berkata, jika dilakukan perbandingan antara kedua-dua perjanjian tersebut, dapat dilihat TPPA lebih realistik dan menguntungkan rakyat di Negara ini dalam menuju status Negara maju.,

Tambahnya, apabila perjanjian ini dimeterai, nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara dijangka mampu meningkat sehingga USD28 trilion berbanding pada ketika ini sekitar USD 300 bilion.

“Selain itu, perjanjian TPPA akan memastikan pemain ekonomi tempatan bakal berhadapan dengan permintaan pasaran berjumlah 800 juta rakyat dari Negara-negara terlibat pada masa akan datang, berbanding 30 juta rakyat sebelum ini.

“Perjanjian itu ditandatangani setelah pihak kerajaan meneliti kandungannya secara mendalam dengan mengambil kira kepentingan ekonomi dan masa depan pelaburan rakyat,”katanya ketika ditemui selepas majlis sumbangan ‘ang pow’ kepada hampir 150 penerima masyarakat Cina, di sini.

Noor Azmi dengan tegas berkata, beliau menolak dakwaan yang mendakwa TPPA akan menggalakkan penjajahan kali kedua ke atas Negara seperti mana Perjanjian Pangkor.

Tambah beliau lagi, peniaga tempatan perlu mengambil peluang yang ada agar berani untuk bersaing dan bersifat kreatif untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Berdasarkan indeks tahap daya saing yang dikeluarkan penilai tersohor, World Economic Forum (WEF), Malaysia menduduki tempat ke-18 daripada keseluruhan 140 negara di seluruh dunia dan dalam kalangan 12 negara menyertai TPPA, kita menduduki tangga keempat Negara paling kreatif dan berdaya saing.

“Daripada penilaian Indeks Kecanggihan Ekonomi yang diambil dari Pengkalan Data Atlas di Massachusetts Institute of Technology (MIT) yang dikaji sarjana MIT dan Unversiti Harvard, Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 186 dan dalam kalangan Negara TPPA, kita menduduki tempat keenam.

“Dua penilaian itu membuktikan tahap daya saing dan produk eksport kita adalah di tahap canggih dan bukan peringkat budak hingusan. Jadi mengapa usahawan kita harus takut?”ujarnya.

Jelas Noor Azmi lagi, kepelbagaian haluan eksport ke Negara-negara Amerika Latin akan memberi peluang kepada usahawan tempatan melebarkan destinasi eksport mereka.

“Melalui pendekatan ini, tahap kebergantungan ekonomi Negara terhadap situasi ekonomi semasa Negara-negara kuasa ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat dan China akan dapat dikurangkan.

“Jadi apabila Negara-negara itu ebrdepan masalah kelembapan ekonomi, kita tidak begitu terkesan,”jelas beliau.

Bagi memperjelaskan lagi tentang TPPA kepada rakyat, Noor Azmi bercadang untuk memperluaskan penganjuran forum penerangan berkaitan perjanjian itu di kawasan Parlimennya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");