Isu Panas

Umno Sabah elemen penting dalam parti

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, Umno Sabah merupakan elemen penting dalam Umno walaupun merupakan ‘adik paling bongsu’ dalam parti itu yang berumur 70 tahun pada 11 Mei ini.

Beliau berkata dengan sejumlah 25 Bahagian, 5,676 Cawangan dan 546,879 anggota, Umno Sabah adalah komponen negeri terbesar dalam Umno sekaligus menjadi faktor signifikan dalam pembentukan kerajaan pimpinan Umno dan BN di peringkat persekutuan.

Katanya, keadaan ini telah membawa pemimpin dari Sabah ke arus perdana politik nasional.

“Pemimpin dari Sabah kini bukan sekadar pemimpin negeri tetapi sudah menjadi pemimpin di arus perdana dan yang jauh lebih penting, agenda rakyat Sabah bukan lagi sekadar agenda negeri, tetapi telah menjadi agenda nasional.

“Sebagai nakhoda Umno dan kerajaan negeri, saya berikrar untuk terus berjuang menjaga hak rakyat dan membela serta mempertahankan kepentingan negeri,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Jubli Perak Umno Negeri Sabah di Bangunan Umno, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa; Timbalan Pengerusi Umno Sabah yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan kalangan pengasas Umno Sabah termasuk Tun Sakaran Dandai.

Mengimbas sejarah kedatangan Umno ke Sabah 25 tahun lalu, Musa selaku Pengerusi Umno Sabah, berkata ia adalah atas pilihan dan kehendak pemimpin dan rakyat Sabah.

“Umno tidak datang dengan sendirinya. Umno tidak datang untuk menjajah. Umno tidak datang untuk merampas hak rakyat Sabah. Umno hadir atas kehendak kita. Umno lahir atas pilihan kita.

“Umno hadir membawa kesatuan dan perpaduan sesama kita pemimpin dan rakyat Sabah. Umno lahir untuk membawa Sabah keluar daripada ketidakstabilan politik. Umno hadir membawa pembangunan dan kemajuan untuk rakyat dan negeri Sabah,” katanya.

Musa berkata suasana politik negeri Sabah pada ketika itu tidak stabil dengan kerajaan sering bertukar ganti dan setiap kerajaan pula tidak dapat fokus kepada usaha membangunkan Sabah kerana tumpuan lebih terarah kepada kepentingan kaum yang mendukung parti memerintah.

“Bukan sahaja sebahagian besar rakyat kita berpecah secara politiknya … ketidakstabilan politik telah merencatkan pembangunan, sehingga negeri kita jauh ketinggalan di belakang negeri-negeri lain termasuk jiran kita Sarawak.

“Ini ditambah lagi dengan hubungan yang renggang dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Musa berkata keadaan itu telah memaksa pemimpin Sabah untuk mencari model politik yang boleh menstabilkan politik dan sebagai wadah penyatuan.

Atas kesedaran itu, katanya para pemimpin Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang dipimpin Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun serta beliau sendiri akhirnya bersetuju untuk membubarkan parti berkenaan dan beramai-ramai bersama-sama penyokong USNO menyertai Umno.

“Tun Datu Mustapha adalah contoh teladan pemimpin yang sentiasa meletakkan kepentingan perjuangan melebihi kepentingan peribadi. Tokoh pejuang tulen ini sanggup membubarkan parti yang beliau sendiri asaskan atas kepentingan agenda perjuangan yang lebih besar.

“Pengorbanan Allahyarham Tun adalah manifestasi jiwa besar pemimpin sejati yang sekaligus membawa mesej jelas kepada kita bahawa perjuangan lebih besar daripada individu. Perjuangan lebih utama dan terletak pada unjuran yang paling atas berbanding mana-mana individu sekalipun,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");