Berita Hari Ini

Usah politik pindaan OSA

Johor Bahru: Semua pihak termasuk pembangkang diminta untuk tidak mempolitikkan keputusan berhubung kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bagi mengkaji semula hukuman berkaitan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berikutan keputusan dibuat Mohamed Apandi berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kenyataan oleh Peguam Negara adalah berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada dan ini harus dihormati. Jika kenyataan Peguam Negara dipolitikkan, kita tidak ada asas untuk menolaknya kerana ia adalah untuk menegakkan perundangan bukan mempolitikkan sesuatu.

“Jangan terjebak dengan interpretasi terhadap isu yang dipolitikkan dan ini seharusnya tidak dilihat sebagai isu politik oleh sesiapa saja termasuk pembangkang,” katanya pada sidang media Majlis Perjumpaan Khas Bersama UMNO Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussien, dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Majlis perjumpaan khas berkenaan dihadiri kira-kira 1,000 ahli UMNO.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli yang mahu memulakan kempen di media sosial untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi menolak cadangan pindaan OSA.

Ini kerana, Mohamed Apandi sebelum ini dilapor sedang menimbangkan untuk meminda OSA bagi meningkatkan hukuman terhadap pihak yang membocorkan rahsia negara dan wartawan yang melaporkannya.

Malah sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan bahawa pejabat peguam negara sedang mengkaji meningkatkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan terhadap individu yang didapati bersalah.

Sementara itu, menurut Ahmad Zahid, pendirian UMNO Johor mengenai perlunya titik noktah berhubung isu politik dalam parti itu serta ketelusan pengendalian pengurusan dana boleh diselesaikan sekiranya kepemimpinan serta ahli UMNO tidak terperangkap dengan isu-isu dibangkitkan.

Ahmad Zahid berkata, UMNO pernah berdepan dengan situasi lebih hebat namun diselesaikan dengan semangat perpaduan yang diwujudkan secara baik.

“Perkara pertama kita lontarkan adalah mengenai isu-isu yang selama ini agak mengganggu perjalanan politik UMNO di Johor tetapi pandangan positif daripada Menteri Besar Johor (Mohamed Khaled) merasakan perlunya tiga elemen penting.

“Pertamanya, dari segi hakikat masalah itu harus ada titik noktah dan kedua, ketelusan di dalam semua pengendalian dan pengurusan dana dan kedua-dua elemen boleh diselesaikan, tetapi kepemimpinan UMNO dan ahli jangan terperangkap dengan isu berkenaan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pendirian UMNO Johor baik, malah maklum balas diberi positif selain mengubah persepsi negatif kepada positif.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");