Membawang Hari Ini

Zombie La La La: Pemain watak hebat, tetapi kurang magis

PEMENTASAN teater Zombi La La La yang bermula 13 Februari lalu mendapat sambutan hebat daripada peminat teater tempatan.

Di sebalik sambutan memberangsangkan itu, rata-rata yang menonton teater terbitan Rumah Karya Citra Sdn Bhd, Istana Budaya, Persatuan Teater Malaysia (PTM) dan Persatuan Generasi Seni Malaysia (GenSem) itu adalah kerana penglibatan artis popular yang menjadi teraju utamanya.

Sementelah naskhahnya hanya biasabiasa sahaja atau lebih tepat lagi kurang magis jika dibandingkan dengan manamana naskhah yang pernah diterbitkan oleh produksi teater tersebut.

Mengimbas sejenak perjalanan teater sentuhan pengarah A Aris Kadir ini, di awalnya memang agak menarik apabila sekumpulan zombi muncul bersama sebuah kapal di pentas berprestij itu.

Tetapi, seperti ada yang tidak kena, apabila komunikasi antara zombi tersebut tidak berjaya menarik perhatian, bahkan ia juga bagai tiada hala tuju.

Selepas itu, bermulalah perjalanan mereka dalam merealisasikan misi mencari formula untuk mengembalikan wajah mereka kepada keadaan asal.

Sepanjang babak pertama, tiada apa yang menarik kecuali penceritaan di mana zombi terlibat berkongsi mengenai kisah mengapa mereka menjadi hodoh.

Hanya di babak kedua plot menjadi lebih mengujakan kerana terdapat cabaran lebih besar yang dipertontonkan.

Sedikit mengenai penguasaan lakonan aktor dan aktres terlibat, sama ada Zulin Aziz (Miss K), Amar Baharin (Kapten Cook), Hafreez Adam (Elvipasola), Lim Mei Fen (Lilipoh) dan Syed Atiq Wan Long (Jinaprit), kesemua mereka gagal memberikan persembahan terbaik.

Daripada gaya persembahan dan lontaran skrip, ia sememangnya kurang menjadi.

Tetapi tidak pula bagi Amy Mastura (Happywitch), Rosnan Rahman (Patihkurnia), Siti Saleha (Cleopapa) dan Janna Nick (Memang Nak), karakter mereka berjaya memukau penonton.

Bahkan, watak-watak ini antara penyeri, ia terbukti apabila setiap kali mereka beraksi, penonton pasti tertawa dan memberikan tepukan.

Pujian masih wajar diberikan kepada pihak produksi kerana berani mementaskan teater yang mengangkat genre komedi ini.

Jika diamati, ia masih punya aura tersendiri walaupun garapan plot dan skripnya kurang memuaskan.

Tetapi, mesej yang hendak disampaikan masih relevan dan jelas.

Dengan menyelitkan latar belakang tempat-tempat bersejarah di Malaysia, ia menjadikan teater ini agak berbeza.

Zombi La La La mengisahkan sekumpulan zombi diketuai Miss K bersama ahli lain dari China, Amerika Syarikat, Indonesia, Mexico, Thailand dan Mesir belayar menaiki kapal ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan formula bagi mengembalikan kecantikan dan ketampanan mereka.

Sepanjang berada di Kuala Lumpur, pelbagai insiden lucu berlaku sehingga mereka terjumpa individu yang tahu di mana formula itu.

Ambil risiko

Mengakui kelemahan karya yang diangkat, penerbitnya, Siti Rohayah Attan memberitahu, dia mengambil risiko untuk mempersembahkan teater tersebut kepada penonton.

Menurutnya, kerana kekangan masa dan kekurangan sesi latihan menyebabkan pementasan tersebut tidak berjaya menguasai penonton pada majlis pra tonton media yang pertama.

“Karya ini sangat berbeza dengan mana-mana karya yang pernah saya terbitkan sebelum ini.

“Ia sebenarnya memberikan cabaran besar kepada saya, sementelah saya sudah sinonim dengan naskhah yang berat berbeza dengan teater ini yang mengangkat genre komedi.

“Bukan hendak memberikan alasan, tetapi saya sendiri kurang arif terhadap naskhah sebegini,” katanya.

Tidak mahu meletakkan kesalahan kepada pelakon terlibat, jelasnya yang lebih dikenali sebagai Kak Roy, dia yakin setiap pelakon sudah membuat yang terbaik.

“Jika saya sendiri masih kurang memahami karya ini, pasti mereka juga masih tercari-cari.

“Lagi pun, saya hanya berkesempatan mengumpulkan mereka 10 hari sahaja, yang mana dalam masa yang ada, satu tanggungjawab berat untuk mereka merealisasikan tugasan diberi.

“Kerana itu, saya sentiasa beri mereka peluang dan ruang untuk terus mewarnai karakter yang diberikan sepanjang pementasan,” katanya.

Pementasan teater Zombi La La La masih berbaki enam hari iaitu sehingga 21 Februari ini.

Kurang sesi latihan

Dalam pada itu, A Aris Kadir menjelaskan, kekurangan yang terlihat pada pementasan tersebut diharap dapat dibaiki pada pementasan seterusnya.

“Memang benar, kurangnya sesi latihan kerana masa yang tidak mencukupi menjadi faktor utama mengapa pementasan ini kurang magisnya.

“Sebagai pengarah memang sukar untuk menjadikan sebuah pementasan itu yang terbaik jika hanya 10 hari masa diberikan untuk merealisasikannya.

“Ia memang luar biasa berbanding sebelum ini saya mendapat masa sebulan sehingga dua bulan,” katanya.

Bagaimanapun, A Aris akan memastikan pementasan seterusnya tidak menghampakan penonton khususnya peminat pelakon terlibat.

“Kelemahan yang ada akan cuba diperbetulkan dan saya harap ia akan lebih mantap berbanding sebelum ini,” katanya.

Berkongsi mengenai persembahan pelakon pula, kata A Aris, oleh kerana setiap mereka mempunyai karakter tersendiri, jadi pelakonnya perlu bijak menginterpretasikan watak masing-masing.

“Penyampaian mereka kurang berjaya mungkin kerana belum memahami atau menghayati watak dengan penuh.

“Selain terpaksa menjadi watak popular seperti Cleopatra, Capten Hook, Elvis Presley dan Nang Nak, mereka perlu menjadinya dalam versi zombi.

“Ia dua peranan berbeza dan cabaran besar kepada mereka, kerana itu saya minta mereka warnai watak tersebut dengan gaya tersendiri,” katanya.

Sukar fahami watak

Menurut Zulin Aziz yang memainkan karakter Miss K iaitu presiden zombi, dia sebenarnya masih tercari-cari bagaimana untuk menginterpretasikan watak tersebut.

“Saya akui sukar untuk memahami watak Miss K dan mewujudkan kelainan dalam karakter itu.

“Bagaimanapun, saya cuba memberikan yang terbaik dan mencipta sesuatu dalam diri Miss K yang boleh menarik perhatian penonton,” katanya.

Bercerita lanjut, katanya, cabaran yang terpaksa dihadapinya apabila terpaksa berdialog menggunakan bahasa baku.

“Saya sudah terbiasa dengan bahasa santai, jadi apabila perlu berbahasa baku memang rasa sukar.

“Kerana itu, saya minta izin Kak Roy yang juga penulis skrip teater ini untuk menukarkan cara penyampaian saya,” katanya.

Selain itu, Zulin tidak terikat kepada skrip sahaja dan cuba mempelbagaikan karakternya supaya lebih menonjol.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");