Membawang Hari Ini

Adi tahu ikut rentak

Berdasarkan pengalaman, usia dan kematangan Adi Putra, 35, barangkali ada yang berasakan dia tidak layak digandingkan dengan artis muda seperti Mira Filzah, 23. Mereka berdua dipertemukan sebagai pasangan suami isteri dalam drama rantaian Cinta Si Wedding Planner.

Namun sebagai seorang yang profesional, Adi tahu meletakkan posisi dirinya dalam apa sahaja situasi sehinggakan tidak menampakkan jurang antaranya dengan Mira.

Mengulas perkara itu, Adi atau nama sebenarnya, Mohamed Hadi Putera Halim berkata, dia perlu menyesuaikan rentak lakonannya dengan Miza agar persembahan mereka seimbang.

“Ketika menjayakan penggambaran Cinta Si Wedding Planner, saya tidak meletakkan diri sebagai pelakon senior.

“Bagi saya, Mira pelakon yang bagus kerana dapat menyesuaikan diri dengan cepat sehinggakan tak nampak jurang usia kami berdua,” katanya.

Mengambil contoh superstar Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan (SRK) yang sudah mencecah usia 50 tahun tetapi masih bergandingan dengan heroin muda dan jelita, lantas tiada bezanya Adi yang masih kelihatan segak berdamping dengan bintang muda.

Memgimbas zaman kanak-kanaknya dulu, jelas Adi, ibunya sering membawanya menonton filem Hindi di pawagam. Sehingga kini dia masih terkesan dengan lakonan mantap hero setiap filem yang ditontonnya terutama SRK.

“Kecil lagi saya sudah kenal SRK dan dia masih hebat sehingga kini. Peningkatan usia sama sekali tidak menjejaskan kedudukannya sebagai hero paling disanjungi di Bollywood.

“Setiap heroin baru yang bergandingan dengan SRK pasti akan segera menempa nama dan kerana itu ramai berlumba-lumba mahu berlakon di sampingnya.

“Saya teringin menjadi sepertinya dan kerana itu tidak kisah digandingkan dengan pelakon baru,” ­katanya yang sedang ­menjalani penggambaran drama Lambaian Ramadan.

Perkembangan lain, berikutan keserasian gandingannya dengan Mira dan keistimewaan, keunikan serta imej Muslimah yang ada pada gadis itu, Adi yang sudah dua tahun menguruskan agensi umrah, Hadid Travel & Tours, melamar pelakon jelita itu sebagai duta.

Menurut Adi, pelantikan itu bertujuan untuk menarik minat golongan muda mengerjakan ibadah itu dan secara tidak langsung Mira boleh dijadikan rujukan serta contoh kepada mereka.

“Pelantikan Mira tidak termaktub pada tarikh tertentu kerana bagi saya ibadah mesti diteruskan sampai bila-bila.

“Lantas saya akan terus bekerjasama dengan Mira agar kelangsungan ibadah itu dapat terus dikekalkan dan boleh menjadi contoh kepada yang lain.

“Pun begitu, oleh kerana Mira ada komitmen lain, dia akan bersama-sama saya dan jemaah lain ke Makkah mengikut kelapangan dan kesesuaian masanya. Sabagai permulaan, Mira akan berangkat ke Makkah pada 4 hingga 15 Jun depan. Oleh kerana dia perlukan mahram menemaninya di sana, bapanya akan turut serta.

Selain Mira, Adi turut melantik Imam Muda Hizbur Rahman Omar Zuhdi sebagai duta syarikatnya.

“Bagi mendekati golongan muda, kita perlukan ustaz muda yang boleh berkongsi ilmu dengan jemaah nanti,” katanya.

Hizbur akan berangkat ke Tanah Suci pada 12 Mei depan. Artis dan selebriti lain yang turut ke sana ialah Roslan Shah yang dijadualkan mengerjakan ibadah itu pada 12 April ini manakala AG (Hot FM) pula akan terbang ke Makkah pada 21 April. Seorang lagi ikon ialah Ustaz Noor Effendi Hamid iaitu mudir sekolah tahfiz.

Adi sendiri akan berangkat ke Makkah pada 4 April ini dan akan berada di sana selama tiga bulan sehingga Ramadan ini. Dia akan menyambut kedatangan sahabat-sahabatnya di sana nanti.

“Sebagai pemilik syarikat saya perlu memastikan segala urusan di Makkah berjalan lancar. Agensi saya akan menyediakan segala kemudahan yang diperlukan jemaah ketika beribadah di sana nanti.

“Bukan senang orang mahu kumpul wang untuk ke Makkah jadi saya mahu mereka dapat beribadah dengan selesa di sana,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");