Sukan Hari Ini

Badrul kempunan lagi

HAJAT pelari pecut 100 meter negara, Badrul Hisham Abdul Manap untuk memecahkan rekod kebangsaan 10.30 saat milik Watson Nyambek tidak kesampaian walaupun bergelar juara apabila sekadar mencatat masa 10.55 saat aksi akhir Kejohanan Olahraga Terbuka Pahang ke-50 2016 di Stadium Darul Makmur, semalam.

Namun atlet kelahiran Melaka itu nyaris memecahkan rekod milik pelari pecut kelahiran Sarawak itu dengan catatan 10.34 saat dalam pusingan separuh akhir kejohanan tersebut yang juga Pra Sukma XVIII sebelum ini.

Ketika ditemui Sinar Harian, Badrul memberitahu, kekejangan dialami ketika permulaan menyebabkan catatannya jauh melepasi sasaran yang ditetapkan dalam kejohanan tersebut.

“Saya memang tak berpuas hati kerana sudah memasang hajat untuk memecahkan rekod yang pernah dibuat Watson Nyambek di sini (Pahang) tetapi saya akur dengan keputusan ini.

“Ketika kekejangan itu datang, saya sudah puas berusaha mengawalnya dan tiada rezeki lagi untuk pecahkan rekod. Hanya ini saja saya dapat lakukan pada hari ini (semalam),” katanya.

Turut mengakui tekanan yang dihadapi berikutan harapan peminat yang diletakkan untuk dirinya memecahkan rekod 18 tahun yang dipegang oleh Watson selama ini.

“Selepas ini fokus saya untuk mencuba lagi yang terbaik dan selepas ini akan beraksi di Terbuka Johor pula tak lama lagi,” tegasnya lagi.

Sebelum ini, catatan 10.29 saat yang dilakukan oleh atlet remaja itu dalam Kejohanan Sukan Sekolah Asean di Brunei pada November tahun lalu tidak dapat diiktiraf dan akhirnya kembali menjadi milik Watson kerana aspek teknikal yang gagal disediakan oleh tuan rumah.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");