Berita Hari Ini

‘Boleh sebat depan khalayak’

KOTA BHARU-Dalam pada kerajaan negeri sedang mempertimbangkan hukuman sebat di khalayak ramai terhadap penzina, bekas hakim Mahkamah Syariah Kota Bharu, Che Ibrahim Mohamed memaklumkan ia boleh dilakukan di Kelantan.

Che Ibrahim berkata, kuasa hukuman sebat sebanyak enam rotan oleh mahkamah syariah telah diperuntukkan dalam Akta 355, Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) pindaan 1984.

Menurutnya, ekoran daripada peruntukkan tersebut, hukuman sebat sebanyak enam rotan telah dimasukkan dalam Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1985 bagi kesalahan-kesalahan zina/persetubuhan haram, liwat dan minum arak.

Katanya, sebelum ini mengikut Kaedah-Kaedah Sebat 1987, hukuman itu hanya dijalankan oleh pegawai penjara dan dilakukan di dalam penjara.

“Namun pada tahun 2002, Kerajaan Kelantan telah memperuntukkan dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002, iaitu di bawah Seksyen 125 dan 126 bagi membolehkan mahkamah mengarahkan hukuman sebat dilaksanakan di suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

“Dan disebat oleh seorang tukang sebat yang dilantik oleh kerajaan negeri, yakni tidak lagi merujuk pelaksanaan hukuman sebat di penjara,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan peruntukkan tersebut, iaitu seksyen 125, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002, kerajaan negeri pada dasarnya tidak ada halangan untuk melaksanakan hukuman sebat di khalayak ramai.

“Namun malangnya, semenjak peruntukkan tersebut diluluskan dalam Dun Kelantan pada 27 Oktober 2002, tidak ada apa-apa usaha yang dibuat ke arah tersebut.

“Saya menyokong. Sepatutnya sudah lama dijalankan, malangnya setelah kerajaan negeri dilihat semakin terdesak dalam usaha mereka untuk melaksanakan hukum hudud, barulah hukuman sebatan enam rotan yang telah diberi kuasa kepada mahkamah syariah semenjak tahun 1984 dibincangkan semula untuk dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, Che Ibrahim juga mencadangkan hukuman sebat sebanyak enam rotan itu bukan sahaja dikenakan kepada kesalahan zina, tetapi termasuklah kesalahan liwat dan minum arak sebagaimana yg diperuntukkan dlm Kanun Jenayah Syariah 1985.

Bahkan katanya, bahkan sepatutnya kerajaan negeri mengkaji untuk memperluaskan pelaksanaan hukuman itu kepada beberapa kesalahan lain seperti khalwat, mukadimah zina, percubaan murtad dan lain-lain.

Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama Pas Negeri, Datuk Hassan Mahmood pada sidang Dun lalu mencadangkan supaya pelaku persetubuhan haram dikenakan hukuman sebat di khalayak ramai sebagai pengajaran kepada umum.

Respons terhadap cadangan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantai Negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud memberitahu, kerajaan negeri akan mempertimbangkan perkara tersebut.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");