Panasnya Hari Ini

Deklarasi Rakyat Bukan Dirancang Bersama Pembangkang

KUALA LUMPUR:Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin,menegaskan bahawa deklarasi yang bertujuan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berundur daripada jawatannya merupakan idea Tun Dr Mahathir Mohamad dan bukannya dirancang bersama parti pembangkang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Perkembar semalam, memetik sumber Berita harian.

Ujarnya, kesemua draf deklarasi itu dirangka serta ditulis sendiri oleh Dr Mahathir, sebelum beberapa pemimpin pembangkang turut menyatakan minat untuk menandatanganinya secara bersama.

“Saya bersama Tun (Dr Mahathir) berbincang dan melihat setiap apa yang ditulis dalam draf berkenaan sebab Dr Mahathir memang pandai menulis. Beliau menunjukkan draf (deklarasi) yang dibuat itu dan ia bukan (Penasihat DAP) Lim Kit Siang yang buat.

“Tapi bila isu ini kita keluarkan, semua yang sependapat tidak kira siapa pun termasuk pihak di sana (pembangkang) mahu tanda tangan, mereka pun hendak tandatangan juga.

“Ini maknanya mereka (pembangkang) sependapat dengan isu negara ini. Bila sampai isu negara, mereka juga sanggup mengenepikan perbezaan politik,” katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata deklarasi berkenaan bukan bertujuan menumbangkan kerajaan, tetapi sebaliknya hanya ingin mendesak Perdana Menteri supaya berundur daripada jawatannya demi menyelamatkan masa depan negara.

“Kami berpendapat masalah UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah Datuk Seri Najib Razak. Kita sudah mengkaji dan faktor utama ialah kepemimpinan beliau kerana banyak isu… dia tidak jawab.

“Yang menjawab pula ialah (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Yang patut tahu, yang memang tahu ialah Najib dan beliau yang patut jawab (isu) sebab beliau yang tahu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");