Panasnya Hari Ini

Deklarasi Rakyat Perlukan Tandatangan ‘Rakyat Yang Berani’

KUALA LUMPUR:Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa Deklarasi Rakyat memerlukan kira-kira 1 juta tandatangan sebelum ia diserahkan kepada Majlis Raja-Raja.

Ujarnya, bagi mengumpul dan mendapatkan jumlah itu, pihaknya memerlukan ‘rakyat yang berani’ untuk menandatanganinya.

“Perkara pertama yang kita perlu buat adalah untuk mengumpul orang yang berani untuk menandatangani deklarasi itu. Kita harus menjadikan ini sebagai gerakan rakyat, bukan hanya gerakan beberapa orang.

“Tapi saya faham bahawa orang ramai takut. Mereka takut dengan kerajaan ini. Kerana tiada kebebasan, hanya ketakutan. Jadi kerana itu, ia akan menjadi sukar bagi kita untuk mendapatkan orang ramai untuk menandatanganinya.

“Tapi saya rasa ketakutan ini tidak perlu. Saya ragu-ragu dia boleh menangkap 1 milion orang,” katanya semasa satu sidang media selepas ‘Kongres Rakyat 2016’, Ahad memetik sumber Astro Awani.

Beliau turut menggesa orang ramai terutamanya ahli UMNO untuk tidak takut untuk menandatangani deklarasi tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa beliau tidak merasa kecewa dengan jumlah tandatangan yang diperolehi setakat ini.

“Saya tidak kecewa. Kami telah mengumpulkan lebih daripada 100,000 pada masa ini tetapi kertas perlu diagihkan kepada rakyat untuk ditandatangani.

“Sebahagian daripada mereka telah menandatangan di internet. Ia perlu dimuat turun ia akan mengambil sedikit masa.

“Sementara itu kita sedang menjelajah ke seluruh negara untuk mendapatkan tandatangan orang ramai,” katanya.

Terdahulu semalam, ‘Kongres Rakyat 2016’ yang berlangsung semalam disertai oleh orang kenamaan seperti bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Deklarasi Rakyat yang dilancarkan pada 4 Mac lalu adalah tindakan mengesa supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");