Isu Panas

Duduk ‘sebaris’ DAP, Dr M mengecewakan rakyat

SHAH ALAM – Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersama barisan pembangkang demi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dianggap mengecewakan rakyat negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, keputusan Dr Mahathir keluar Umno sebelum bersekongkol bersama pembangkang itu telah menghakis segala penat jerih ahli ahli Umno yang pernah memperjuangkan parti ketika beliau menjadi presiden.

“Sangat mengecewakan apabila dilihat mantan presiden sendiri telah pun berpaling tadah sebelum perang PRU 14 bermula.

“Sebagai seorang negarawan, sudah pasti Tun Mahathir mempunyai pengalaman dalam memperjuangkan Umno, namun tindakannya duduk sebaris dengan pembangkang terutamanya DAP telah mendukacitakan sesetengah rakyat. Pandangan melangit yang diberikan oleh kita selama ini nyata meleset,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir bersama-sama beberapa pemimpin pembangkang dan bekas pemimpin BN dan Umno menandatangani Deklarasi Rakyat menggesa Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Dalam pada itu, Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, tindakan Dr Mahathir kini dilihat semakin tidak rasional.

“Berfikiran sealiran dengan pihak pembangkang dalam menjatuhkan pemimpin negara adalah agenda yang mungkin lebih bersifat peribadi.

“Sungguh mudah Tun melupakan sumpah-sumpah keramat yang pernah dilaungkan oleh beliau,” katanya.

Beliau menyeru agar ahli Umno dan penyokong BN tidak termakan dengan umpan pembangkang yang dilihat mempunyai kepentingan tertentu dan penuh dengan muslihat.

“Yakinlah bahawa pemerintahan Datuk Seri Najib akan membuahkan hasil melalui transformasi transformasi baharu terutamanya masa depan Malaysia.

“Perlu diingat, bahawa pelantikan Datuk Seri Najib adalah berasaskan demokrasi. Pelantikan ini adalah sah sebagaimana Dr Mahathir juga pernah melaluinya. Namun hakikatnya beliau dilihat seakan-akan sedang mempertikaikan sistem demokrasi negara,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");