Membawang Hari Ini

Gadis 3 dalam 1

Sebaik sahaja menceburi dunia lakonan tiga tahun lalu, Nazeera Sardi, 30, terus dilamar pengarah drama, Faizal Ishak untuk memegang watak utama bernama Adawiyah dalam drama rantaian Hanya Padamu. Ketika itu tuah sememangnya bersama gadis ini kerana wataknya dalam drama itu berjaya menonjolkan bakat lakonannya.

Pantas masa berlalu, biarpun dia berlakon dalam beberapa drama lain dan filem, namun watak sebagai gadis malang dalam drama berkenaan terus melekat kukuh dalam ingatan penonton.

Barangkali juga kerana liku hidup Adawiyah dalam drama itu biasa berlaku dalam masyarakat hari ini menyebabkan jalan cerita Hanya Padamu begitu dijiwai penonton.

Tidak mahu terus dibayangi watak Adawiyah, Nazeera terus ‘bergerak’ pantas dengan membintangi beberapa drama lain dan terbaru, dia baru saja selesai penggambaran telefilem Cinta Si Wedding Planner Raya bersama Adi Putra dan Mira Filzah. Dia kini sibuk pula di lokasi penggambaran drama Naluri Bercinta.

Berperwatakan lemah lembut, pelakon yang berasal dari Negeri Sembilan ini juga mengakui ‘dirinya’ mungkin tidak ‘sehangat’ pelakon lain kerana tiada gosip mengenainya.

“Tumpuan saya hanya berlakon dan apabila ada masa terluang saya balik menjenguk ibu di kampung. Tiada masa untuk saya bersosial bersama rakan lain, lagi pun masa untuk bersuka ria sudah berlalu,” katanya.

Selain berlakon, Nazeera juga menyambung pengajian jarak jauh pada peringkat ijazah sarjana jurusan Pentadbiran Perniagaan di Universiti Pertanian Malaysia.

“Saya belajar semula kerana mahu menambah nilai dalam diri saya kerana sesungguhnya kita tidak pernah rugi untuk terus menambah ilmu. Ia juga untuk kepuasan diri kerana ilmu yang ada boleh digunakan selepas saya tidak diperlukan lagi dalam industri,” katanya yang sudahpun memiliki ijazah dalam jurusan Bioteknologi Industri dari Universiti Teknologi Mara Shah Alam.

Pada masa sama, Nazeera juga mencuba nasib dalam bidang perniagaan dengan menjual minyak wangi menerusi dalam talian untuk lelaki dan wanita yang harumannya tahan lama serta boleh dibawa solat.

Kepada mereka yang mahu mendapatkan wangian itu, layari Instagramnya, nazeerasardi.

Menurut Nazeera, dalam perniagaan selain mahukan keuntungan di dunia, dia juga ‘mengejar’ keuntungan di akhirat lantas dia pastikan wangiannya itu tanpa alkohol dan boleh digunakan sepanjang masa meskipun ketika solat.

“Untuk berdandan cantik jangan abaikan kewajipan kita kepada Allah SWT. Orang sekarang pantas bergerak dan tiada masa untuk balik rumah mandi serta membersihkan tubuh dulu baru solat,” katanya.

Ujar Nazeera lagi, berlakon, belajar dan berniaga memang memenatkan, namun keletihan itu segera terubat kerana dia melakukan perkara yang disukainya.

“Mujur kelas saya pada sebelah malam saja dan bukanlah setiap hari. Kembali belajar seolah-olah menyuntik semangat baru. Saya boleh menjadi diri sendiri kerana rakan sekelas yang kebanyakannya India dan Cina tidak tahu saya pelakon,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");