Sukan Hari Ini

Hanya jaguh kampung?

Kuala Lumpur: Sebaik tamat perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin, ratusan komen penyokong setia Selangor dalam laman sosial menyalahkan keputusan Zainal Abidin Hassan menyenaraikan barisan kedua sekali gus tewas 0-1 kepada Tampines Rovers.

Melihatkan kepada barisan kesebelasan utama itu, boleh disimpulkan skuad Red Giants sekadar mahu menjadi ‘jaguh kampung’ berbanding cuba bersaing merebut Piala AFC yang sememangnya tidak pernah berada dalam kabinet pasukan itu.

Berbekalkan rekod cukup ‘gah’ dalam arena tempatan, Selangor sebenarnya pasukan paling berjaya dalam sejarah bola sepak Malaysia apabila menjuarai kesemua piala dipertandingkan di peringkat domestik terutama Piala Malaysia sebanyak 33 kali, Piala FA (lima), Kejuaraan Liga (tujuh) dan Piala Sumbangsih (lapan).

Namun pentas Asia memperlihatkan wakil negara itu gagal menyerlah seperti mana saingan tempatan.

Bagaimanapun, pencapaian terbaik di peringkat tertinggi itu adalah pada 1967 dengan Selangor muncul naib juara Kejohanan Kelab Asia (sekarang Liga Juara-juara Asia) apabila tewas tipis 1–2 kepada kelab Israel Hapoel Tel Aviv dalam aksi final.

“Saya agak terkilan dengan apa yang berlaku (kesilapan Zainal), mungkin beliau tidak mempunyai apa-apa sasaran dalam Piala AFC.
“Sebab itu beliau sekadar menurunkan barisan kedua, selain faktor kepadatan jadual yang menyaksikan penggiliran pemain terpaksa dibuat.

“Tapi bagi saya, FAS (Persatuan Bolasepak Selangor) seharusnya meletakkan Piala AFC ini sebagai kejohanan penting dalam kalendar mereka.

“Ini peluang untuk pemain tempatan bersaing di peringkat tertinggi dengan skuad terkuat selain cuba mara sejauh mungkin.

“Kalau tanya penyokong, sudah tentu kami mahu Piala AFC selepas kejuaraan dalam negara sudah biasa kita menang. Johor DT (Johor Darul Ta’zim) boleh lakukan musim lalu, itu bermakna Selangor juga boleh.

“Namun dengan taktikal malam tadi (kelmarin), jelas mereka tidak serius menghadapi pertemuan itu. Saya harap Zainal belajar sesuatu daripada keputusan itu dan jangan ambil mudah aksi Piala AFC,” kata Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Selangor (SSFC) Haniff Rana, semalam.

Bagi Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC) Faizal Wahid pula, sewajarnya pasukan kesayangannya itu tampil lebih garang dalam kempen Piala AFC musim ini selepas melakukan rombakan awal musim dengan mengikat ramai pemain berkualiti.

“Saya lihat Zainal cuba membuat penggiliran pemain dalam pasukan susulan masalah kepenatan dan kecederaan. Tapi mengapa ketika saingan Piala AFC berlangsung. Beliau seperti memperjudikan nasib dengan skuad kedua.

“Sepatutnya ini kesempatan untuk kita mencipta nama di peringkat antarabangsa. Kami sudah jemu dengan status ‘King of Malaya’, sekarang tiba masanya untuk gegar Asia pula,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");