Berita Hari Ini

Harga tiket bas masih relevan

BACHOK – Harga tiket bas yang beroperasi sekarang dikatakan masih relevan walaupun harga minyak sudah turun tiga kali tahun ini bermula sejak Januari, Februari dan awal Mac lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Kenderaan Awam Darat (SPAD), Tran Sri Syed Hamid Albar berkata, bisnes melibatkan pengambilan penumpang atau pengangkutan awam perlu dilihat dari beberapa elemen lain, bukan semata-mata kos minyak.

Beliau berkata, sesetengah pendapat mengatakan bisnes perkhidmatan bas ini adalah yang paling sukar berdaya saing, berikutan dipengaruhi beberapa elemen lain seperti kos alat ganti, tayar, insurans dan nilai mata wang yang mempengaruhi harga belian bas semasa.

“Turun naik harga minyak hanyalah kira-kira 10 peratus daripada kos pengangkutan awam. Terbaru, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) juga mempengaruhi harga tiket bas. GST adalah satu cukai yang baik tetapi rintihan pengusaha bas ialah apabila tetapi kosnya terus meningkat, sedangkan khidmat yang diberikan juga perlu dipertingkatkan.

“Ada orang kata industri bas yang sukar sekali untuk berdaya maju kerana ada elemen kos lain yang mempengaruhinya. Contohnya ada insentif untuk pemandu, ada bonus dan cabutan bertuah untuk staf. Di tempat lain, ada bas tetapi tak ada pemandu sebab syarikat tak nak naikkan bayaran gaji dan insentif,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan bangunan pejabat urusan syarikat bas Ekspres Perdana dan majlis menandatangani memorandum pembelian bas bersama beberapa syarikat di Kampung Budi dekat sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah; Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Superintendan Azli Md Noor; dan ketua Pegawai Eksekutif Ekspres Perdana, Laili Ismail.

Untuk rekod, harga Ron95 pada Januari 2016 ialah RM1.85 dan ia turun kepada RM1.75 pada Februari, seterusnya RM1.60 pada Mac.

Harga Ron97 pula RM1.25 pada Januari 2016, RM1.05 pada Februai dan RM1.95 pada Mac. Manakala harga diesel RM1.60 pada Januari 2016 turun kepada RM1.35 pada Februari dan tidak berubah pada Mac.

Mengulas mengenai kemasukan kenderaan Thailand di negara ini, Syed Hamid berkata, ramai pihak salah faham mengenai peranan SPAD dan menganggap mereka sebagai agensi penguat kuasa.

“Seperti kenderaan Thailand yang masuk bawa penumpang dan jalan merata tempat. Kesilapan kita tentang SPAD ialah kita disangkakan penguatkuasa. Ramai yang salah faham. Kita bukan penguatkuasa tetapi ‘input provider’. Kita adalah perancang dan regulator, pelan induk peringkat nasional dan wilayah.

“Ia perlu dirumuskan oleh pihak kerajaan, kita akan bagi input bila dipanggil oleh kerajaan. Persatuan berkaitan kena mainkan peranan untuk bentangkan pandangan kepada kerajaan dalam mana- mana mesyuarat agar kerajaan sedar kita ada hal yang perlu diselesaikan. Berkaitan dengan GPS pada bas, kita tak tetapkan pasang daripada mana-mana syarikat tertentu, asalkan ia berfungsi dengan baik,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");