Isu Panas

Hudud: Kelantan yakin Pusat serius

KOTA BHARU- Kelantan yakin dengan kesungguhan kerajaan pusat untuk merealisasikan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, komitmen itu berdasarkan pertemuan terbaharu Januari lalu bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai usaha untuk membolehkan Akta 355 dipinda.

“Memang ada komitmen dari kerajaan persekutuan untuk meneruskan pindaan Akta 355. Cuma ada beberapa isu teknikal tidak selesai yang menyebabkan pada tahun lepas kita tidak boleh bentang di Parlimen dan mereka juga tidak boleh bawa.

“Daripada perbincangan kita lihat ada komitmen yang diberikan dan kita harap komitmen itu benar dan diteruskan,” katanya kepada media semalam selepas menerima kunjungan Mustasya Islamik Kedutaan Arab Saudi, Abdul Rahman Al-Harfi yang turut disertai Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di JKR 10.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, kerajaan pusat kini dalam usaha memperoleh persetujuan daripada semua negeri dan mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum ia boleh dibawa ke Parlimen.

“Secara umumnya sebarang pindaan yang hendak dibuat, yang menyentuh pasal mahkamah syariah, undang-undang Islam ini kena dapat perkenanan Majlis Raja-Raja.

“Setakat ini lebih separuh negeri telah bersetuju untuk pinda akta ini. Jadi bila semua negeri sudah perkenan dan dibawa kepada Majlis Raja-Raja barulah boleh dibentangkan di Parlimen. Ada beberapa negeri lagi belum. Jadi itu yang tertangguh,” katanya.

Tambahnya, beliau juga tidak boleh menjangkakan tempoh sebenar ia boleh dibentangkan di Parlimen memandangkan ia perlu diselesaikan dengan negeri yang masih belum menyatakan persetujuan.

“Ini lebih kepada aspek teknikal sahajalah yang memerlukan masa… kena selesai benda ini dulu, sebab agama berada di bawah bidang kuasa sultan. Memanglah, harapan kita tahun ini sempatlah, Harapan kita tahun lepas lagi selesai,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");