Panasnya Hari Ini

Hudud: Pendirian PAS Tak Pernah Berubah

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, PAS tidak pernah mengubah pendirian berhubung pelaksanaan hudud di negara ini walaupun selepas menjalinkan kerjasama politik dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

Jelasnya, setiap parti di negara ini mempunyai dasar dan perjuangan masing-masing dan berikutan itu, PAS dan IKATAN akan mengamalkan konsep saling hormat menghormati.

“Ertinya, dalam sebarang bentuk muafakat antara dua parti, setiap parti ada pendirian tersendiri dalam pelbagai isu, ada dasar tersendiri yang diperjuangkan.

“Tetapi yang boleh menyatukan kita ialah sikap saling menghormati pendirian masing-masing. Itulah yang kita tampilkan dalam sidang media itu, saling menghormati,”katanya, lapor Antarapos.

Terdahulu, Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH), Dr Dzulkefly Ahmad mendakwa, PAS telah mengubah pendirian berhubung soal pelaksanaan hudud selepas bekerjasama dengan IKATAN.

Dzulkefly juga dilaporkan berkata, PAS sebelum ini telah menuduh bahawa mana-mana pihak yang menolak pelaksanaan hudud sebagai golongan liberal, walaupun pihak tersebut memberitahu bahawa penolakan hudud itu di atas hujah memerlukan persekitaran kondusif, tidak bertepatan dengan keutamaan dan umat yang belum bersedia.

Kata Dzulkefly lagi, PAS pada hari ini telah menggunakan alasan yang sama untuk tidak melaksanakan hudud di negara ini.

Khairuddin bagaimanapun menepis dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden IKATAN, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir pada sidang media tersebut berkata, pelaksanaan hudud diserahkan kepada rakyat dan sistem demokrasi.

“Sebab itulah kita bawa hudud ini menerusi saluran demokrasi. Kita bawa ke Parlimen, itu proses demokrasi.

“Jadi isunya ialah kita menghormati demokrasi, sama juga IKATAN menghormati hak demokrasi mana-mana parti. Jadi itu sudah cukup untuk kita bersatu.

“Bukan maknanya setiap parti kena gugurkan perjuangan masing-masing. Itu bukan satu muafakat,”tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");