Sukan Hari Ini

Jagoan terkulai

Miami, AS: Pemain nombor satu dunia dan juara tiga kali Serena Williams serta pemain kedua dunia Andy Murray kedua-duanya tersingkir daripada kejohanan Terbuka Miami yang dipenuhi banyak kejutan, semalam.

Pilihan ke-15 dari Russia Svetlana Kuznetsova mengejutkan juara 21 gelaran Grand Slam Serena 6-7 (3/7), 6-1, 6-2 manakala pemain nombor dua dunia dari Britain Murray kalah aksi pusingan ketiga di tangan pilihan ke-26 dari Bulgaria Grigor Dimitrov 7-6 (7/1), 4-6, 3-6.

Serena dan Murray masing-masing melakukan 55 unforced error, merudum teruk pada set ketiga.

“Banyak kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku dan dia lebih mantap berbanding saya,” kata Murray, yang melakukan 22 unforced error pada set terakhir.

“Saya melakukan lebih banyak kesilapan berbanding selalu, terutama dalam set ketiga.”

Kekalahan Serena mencetus persoalan mengenai kecergasan dan pergerakannya

“Saya tidak fikir wajar mengkritik mengenai pergerakan saya ketika ini,” kata Serena. “Saya sudah melakukan yang terbaik. Saya tidak boleh menang setiap perlawanan. Pemain ini hadir dan memberikan yang terbaik. Saya perlu memberikan persembahan 300 peratus setiap perlawanan.”

Bintang Amerika Syarikat berusia 34 tahun itu memburu kejuaraan Miami kesembilan dalam kariernya sebaliknya menyamai pencapaian terburuk selepas kecundang pada pusingan keempat pada 2000.

“Ia jelas mengecewakan, tapi saya sudah menang banyak kali di sini,” ujar Serena.

Turut tersingkir pemain nombor dua dunia Agnieszka Radwanska dari Poland, yang ditundukkan oleh pemain ranking ke-20 dari Switzerland Timea Bacsinszky 6-2, 4-6, 2-6 manakala pilihan keempat dari Sepanyol Garbine Muguruza kecundang di tangan pilihan ke-13 Victoria Azarenka dari Belarus 6-7 (6/8), 6-7 (4/7).-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");