Panasnya Hari Ini

‘Jalankan Undian Antara Saya Dan Najib’ –Tun Mahathir

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan berhenti ‘menyerang’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletak jawatan sekiranya satu undian dijalankan bagi membuktikan bahawa beliau tidak mempunyai sokongan daripada rakyat.

Menerusi catatan di blog beliau, Tun Mahathir berkata, undian tersebut perlu dijalankan oleh pihak asing yang boleh dipercayai serta diselia oleh wakil dari dua pihak yang terlibat.

“Apa yang dapat meyakinkan rakyat ialah undian nasional di mana setiap pengundi di negara ini boleh menterjemahkan sokongan terhadap Najib.

“Mungkin juga undian ini berguna untuk menunjukkan bahawa Dr Mahathir (iaitu saya) adalah tidak benar dalam mendedahkan skandal kewangan Najib,”jelasnya.

Katanya lagi, sekiranya Najib menang dalam undian awam tersebut, beliau akan berhenti dari membuat permintaan untuk Najib meletak jawatan.

“Saya tidak akan bercakap apa-apa lagi tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), wang RM2.6 bilion dan rumah-rumah besar di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Hollywood atau filem porno ‘Wolf of Wall Street’. Najib boleh terus menjadi Perdana Menteri sepanjang hayat.

“Tetapi jika saya dapat lebih banyak undian dari Najib, ini bermaksud rakyat menerima bahawa apa yang dikatakan tentang salahlaku kewangan Najib adalah benar, dan beliau perlu letak jawatan.

“Dengan cara ini kita dapat menyelesaikan soalan berkaitan populariti Najib dan apa yang rakyat fikir tentang skandal kewangan Najib dan untuk semua,”ujarnya.

Kata bekas Presiden UMNO itu lagi, antara pilihan lain ialah dengan menanti Akta Majlis Keselamatan Negara ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong atau menanti selama sebulan jika Agong tidak menandatangani, akta tersebut dikuatkuasakan.

“Kemudian Najib bolehlah menangkap dan menahan bekas Perdana Menteri yang jengkel ini tanpa bicara.

“Saya mendapat pesanan, inilah yang menanti saya jika saya tidak berhenti dan membuat gencatan. Saya tidak akan berhenti bersuara,”tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");