Berita Hari Ini

Jangan alihkan isu pelantikan Gabenor

SHAH ALAM – Pas mengingatkan Kerajaan Persekutuan untuk tidak mengalihkan isu pelantikan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) baharu dengan berita-berita sensasi yang mengundang simpati rakyat seperti cubaan penculikan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan setahun lalu.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pelantikan pengganti Tan Sri Zeti Akhtar Aziz perlu diberikan perhatian sepenuhnya dan memastikan proses itu bebas daripada sebarang pengaruh politik.

“Mereka yang pernah terlibat dalam kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mana-mana parti politik BN mestilah ditolak sebagai calon Gabenor BNM yang baharu.

“Gabenor BNM baharu mestilah seorang yang berani, tegas, adil, berpihak pada kebenaran dan berkemampuan seperti Tan Sri Zeti untuk melakukan perkara yang betul apabila berdepan dengan isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ekonomi mencabar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kontrak Zeti sebagai Gabenor BNM bakal tamat bulan depan namun penggantinya masih menjadi tanda tanya, susulan lanjutan perkhidmatan penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat itu masih tiada khabar berita dari Putrajaya.

Sebelum ini Zeti dilaporkan bahawa pelantikan gabenor baharu perlu melalui proses terperinci yang akan dikendalikan oleh salah satu dari tiga cabang jawatankuasa lembaga pengarah Bank Negara iaitu jawatankuasa tadbir urus dan dikawal selia oleh Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Tuan Ibrahim juga berkata, sehingga kini, Najib masih tidak memberi sebarang petanda bahawa beliau setuju dengan Zeti dalam memastikan BNM sebagai badan bebas daripada sebarang pengaruh politik.

“Rakyat menanti jaminan Najib bahawa BNM akan bebas daripada campur tangan ahli politik. Jaminan ini sangat penting bagi membina keyakinan pelabur luar dan integriti BNM dapat dipertahankan.

“Kerajaan wajib melupakan kecenderungannya dalam mencabuli kebebasan BNM,” ujarnya.

Beliau turut meminta Najib melanjutkan kontrak Zeti sekiranya laporan audit skandal kewangan 1MDB memerlukan beliau untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Biar Tan Sri Zeti memenuhi hasratnya untuk melihat isu 1MDB diselesaikan sebelum beliau bersara,” katanya lagi.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");