Berita Hari Ini

Kami akan bertemu mereka suatu hari nanti

KUALA LUMPUR – “Mungkin mereka akan kembali atau mungkin tidak. Apa pun saya tidak akan berhenti berdoa untuk Tuhan memberi mereka perlindungan. Mati atau hidup, semoga Tuhan merahmati mereka semua. Kita akan bertemu mereka tidak lama lagi, satu hari”.

Inilah kata-kata yang diungkapkan Maira Elizabeth, 20, anak sulung ketua pramugara pesawat Malaysia Airlines MH370, Andrew Nari dalam memperingati bapanya sejak pesawat yang membawa bapa dan kru pesawat yang lain serta 239 penumpang hilang pada awal pagi 8 Mac, 2014.

Pesawat itu yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Beijing tidak ditemukan sehingga kini.

Maira berkata sejak kejadian itu, keluarganya tidak berhenti berdoa kepada Tuhan untuk memberi perlindungan kepada bapanya dan kesemua yang berada di dalam pesawat berkenaan.

“Betapa pantasnya masa berjalan. Sudah tentu kami merinduinya. Ia semakin sukar lebih-lebih lagi pada hari atau tarikh tertentu seperti hari jadi, ulang tahun dan sebagainya kerana beliau selalu bersama, tapi sekarang tidak lagi. Kesakitan masih terasa, ia tidak semakin mudah,” katanya.

Beliau berkata tragedi berkenaan meninggalkan kesan besar kepada keluarganya.

“Kamu boleh melihat kami senyum dan ketawa, tetapi hanya Tuhan yang tahu apa yang ada dalam hati dan fikiran kami. Memberitahu seseorang agar tabah dan kemudian meluahkan rasa simpati memang mudah, tapi apabila kamu berada dalam keadaan kami, hati kamu akan menangis setiap kali malam atau siang,” tambahnya.

S. Thenmoli, 26, adik kepada S. Puspanathan, 34, berkata tiada sebarang acara diadakan bagi memperingati kehilangan kakaknya yang merupakan penumpang pesawat malang tersebut.

Bagi Grace Subathirai Nathan, 28, beliau masih berharap untuk menemui ibunya.

“Kami akan terus melobi agar usaha mencari pesawat diteruskan. Saya memerlukan jawapannya,” katanya.

Voice370 yang merupakan rangkaian antarabangsa sanak saudara mangsa turut merayu agar negara-negara berkaitan meneruskan usaha pencarian sehingga sesuatu ditemukan.

“Voice370 menggesa pihak berkuasa agar terus mencari pesawat. Mereka tidak harus mudah mengalah, tutup kes dan menyifatkannya sebagai misteri yang tidak terungkai,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat, Chris Hart dilapor sebagai berkata standard keselamatan penerbangan sedang mengalami perubahan berikutan kehilangan pesawat MH370, tetapi ia tidak berlaku dengan pantas.

Beliau berkata lebih banyak perlu dilakukan untuk mengguna pakai teknologi sedia ada.

“Kita prihatin dengan kemajuan perlahan yang dicapai pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kita percaya ia lama tertangguh,” katanya.

Usaha pencarian pesawat telah menjangkau keluasan lebih daripada 85,000 kilometer persegi di dasar laut dan akan diteruskan sehingga Jun ini. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");