Jenayah

‘Kamu sepatutnya melindungi adik’

Melaka: “Sebagai abang, kamu sepatutnya melindungi adik perempuan, bukan bertindak memukulnya. Mahkamah cenderung memberikan satu hukuman berat untuk dijadikan pengajaran,” kata Majistret Mohd Asri Abd Rahman Sidik, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan kepada Khairul Nizar Amir Hamzah, 34, selepas mengaku salah terhadap tuduhan menyebabkan kecederaan adik perempuannya di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa dengan sebatang kayu di tangan dalam kejadian di Jalan Pengkalan Jajar, Kampung Alai di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, 20 Mac lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dikatakan berang selepas ditegur bapanya berikutan masih tidak berhenti menagih dadah sebelum tertuduh menolak dan menumbuk bapanya itu hingga jatuh.

Adik perempuannya yang cuba meleraikan kejadian itu turut dipukul oleh tertuduh menggunakan sebatang kayu dan susulan kejadian itu, bapa mereka diserang sakit jantung.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak yang mengendalikan kes pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh memandangkan kes keganasan terhadap wanita yang sering berlaku.

Tertuduh yang diwakili pelatih dalam kamar merayu mahkamah meringankan hukumannya kerana sudah bercerai dengan isteri dan kini menyara tiga anak serta ibu bapanya.

Ketika prosiding sama, tertuduh turut didenda RM6,000 selepas mengaku salah terhadap tusduhan mengikut Seksyen 25(1), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal menunjukkan kad pengenalan ketika pemeriksaan polis dan berdepan hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda itu.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");