Jenayah

Kanak-Kanak Lemas Di Kolam Ketika Cari Umpan

KUANTAN: Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun ditemui mati lemas di kolam ikan di Kampung Sempam Baru dekat Raub, Jumaat.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang ketika mangsa, Mohd Izzarul Azreeq S Ramli bersama abangnya, Mohd Izzarul Haqeemi, 11, mencari umpan di kolam itu.

“Mangsa yang mempunyai minat memancing dilaporkan ke kolam berkenaan untuk mencari udang kecil sebagai umpan.

“Dipercayai semasa leka mencari umpan berkenaan dua beradik itu telah terjerlus ke dalam selut,” katanya ketika dihubungi Sabtu.

Beliau berkata penduduk kampung yang pulang dari masjid yang ternampak kejadian itu bertindak terjun ke dalam kolam berkenaan untuk menyelamatkan dua beradik tersebut, namun hanya Mohd Izzarul Haqeemi sahaja sempat diselamatkan.

Katanya sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat menemui mayat Mohd Izzarul Azreeq sejurus kemudian.

Wan Mohd Zahari berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat sebelum jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sempam selepas maghrib.

“Kejadian itu diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut,” katanya.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");