Berita Hari Ini

Kecam tindakan Tun M bersekongkol dengan pembangkang

KUANTAN – Umno Pahang mengecam tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama bekas pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi Umno negeri Datuk Seri Adnan Yaakob berkata tindakan itu sangat tidak wajar dan seumpama hendak mensabotaj parti sekali gus kerajaan dan negara ini.

“Mereka lupa bahawa menjatuhkan perdana menteri bermakna menjatuhkan juga Umno dan kerajaan BN, dan inilah juga matlamat pembangkang.

“Umno Pahang berpendapat bahawa dalam perjuangan mahupun sebarang tindakan diambil hendaklah berpaksikan kepada prinsip, nilai, maruah serta harga diri dan bukan mengikut nafsu dan emosi,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini hari ini.

Menurutnya perbuatan Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Sri Mukhriz Mahathir itu atas apa jua alasan sekalipun dikecam oleh ahli Umno di Pahang kerana ia merupakan satu tindakan mengkhianati kepercayaan rakyat.

Dr Mahathir mengetuai kumpulan lebih 50 orang termasuk beberapa pemimpin pembangkang dan bekas pemimpin BN dan Umno menandatangani Deklarasi Rakyat mahukan Najib meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Mengulas lanjut, Adnan berkata Umno negeri sentiasa bersikap terbuka dan mengalu-alukan perbezaan pendapat, perbahasan yang teratur serta beradab kerana ia memberi peluang kepada wujudnya prinsip serta dasar perjuangan yang lebih mantap.

“Di Malaysia, terdapat saluran yang demokratik untuk menukar perdana menteri iaitu menerusi pilihan raya dan menukar perdana menteri serta kerajaan menerusi tekanan umum serta demonstrasi cuma berlaku di negara pemerintahan kuku besi yang dibayar melalui pertumpahan darah rakyat.

“Jangan pula cara ini cuba di bawa ke negara kita, Malaysia tercinta. Sehubungan itu, Umno Pahang sentiasa berdiri teguh di belakang kepimpinan Presiden Umno dan meminta Najib meneruskan perjuangan dengan penuh semangat serta dedikasi demi rakyat.

“Jangan pandang kiri, kanan atau toleh ke belakang. Buatlah yang terbaik untuk agama Islam, bangsa Malaysia dan tanah air,” katanya.

Katanya sejarah dunia membuktikan sebarang krisis, perselisihan, pertelingkahan, kemelut, kegawatan mahupun darurat adalah perkara biasa yang dialami sesebuah negara dan apa yang penting langkah proaktif dan munasabah wajib diambil untuk mengatasinya.

Adnan berkata perkara itulah yang cuba dilakukan oleh perdana menteri pada waktu ini dengan memberikan perhatian serius menguruskan ekonomi negara yang tidak menentu ekoran keadaan semasa ekonomi dunia selain menguruskan kenaikan kos sara hidup yang membebani rakyat.

“Semua perkara ini memerlukan sokongan padu daripada rakyat khususnya anggota parti dan kita wajib menyokong penuh apa yang dilakukannya supaya setiap langkah yang diambil mencapai matlamat,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");