Membawang Hari Ini

Konsert 35 Tahun Search ditangguh

KUALA LUMPUR: Vokalis Search, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy, menganggap penangguhan konsert sempena 35 tahun kumpulan berkenaan mempunyai hikmah tersendiri.

Bercakap kepada BH Online beliau berkata, penangguhan berkenaan umpamanya boleh memberikan ruang kepada penaja baharu yang ingin sama-sama menjayakan konsert bersejarah Search itu.

Semalam, penganjur Konsert Search 35 Tahun, AFJets Sdn Bhd bersama-sama kumpulan berkenaan mengambil kata sepakat untuk menangguhkan konsert yang dijadualkan berlangsung pada 9 April depan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak terbabit, keputusan berkenaan diambil atas faktor keselamatan pengunjung dan keadaan persekitaran Stadium Merdeka yang menjadi lokasi persembahan mereka.

Ketika ini, projek pembinaan sedang rancak diadakan berdekatan kawasan stadium terbabit dan Amy berasakan perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan keselamatan orang ramai.

“Kita kena pertimbang apa saja kemungkinan yang boleh terjadi selepas ini, dengan segala masalah berbangkit. Pihak penganjur juga perlu bertanya kepada pihak stadium mengenai impak pembinaan itu ke atas konsert ini, atau barangkali kita perlu menukar lokasi persembahan ke tempat lain. Semuanya harus difikirkan untuk kebaikan bersama,” katanya.

Menurut Amy, beliau dimaklumkan pihak yang membuat lawatan dan pemeriksaan di sekitar stadium itu, minggu lalu, menyifatkan ia semakin kritikal dan boleh membahayakan nyawa.

“Keadaan di sekeliling stadium itu akan bertambah teruk lagi selepas ini. Saya diberitahu, lot tempat letak kereta juga sudah tiada kerana pembinaan terbabit.

“Sebelum ini pelbagai perancangan sudah diatur untuk memastikan keraian kumpulan kami menjadi benar-benar hebat. Ia termasuk karnival yang dirancang di persekitaran konsert, tetapi kini sudah ‘dimakan’ projek pembinaan itu,” katanya.

Peminat yang sudah membeli tiket menyaksikan konsert berkenaan masih boleh menggunakannya selain mendapatkan hadiah istimewa disediakan penganjur dan kumpulan itu sendiri.

Pihak penganjur dan Search juga memohon maaf atas segala kesulitan dan berjanji akan memberikan yang terbaik pada konsert itu nanti.

Perkembangan Konsert Search 35 Tahun boleh diikuti di laman sesawang www.afjets-search.com, Facebook (Fenomena Search atau Amysearch), Instagram (Fenomena Search dan AkuAmySearch) serta Twitter (Fenomena Search).-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");