Berita Hari Ini

Makanan di pangkalan hadapan banjir wajar dikeluarkan

TELUK INTAN – Bekalan makanan yang masih disimpan di pangkalan hadapan sebagai persediaan menghadapi banjir hujung tahun lepas wajar dikeluarkan dan diagihkan kepada golongan yang memerlukan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau mencadangkan semua stok berkenaan perlu dibawa keluar kerana ia mempunyai tarikh luput dan dibimbangi jika dibiarkan makanan berkenaan akan rosak.

“Sekiranya tiada lagi ancaman banjir dalam masa terdekat, kementerian bersedia membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengagihkan makanan berkenaan kepada yang memerlukan termasuk golongan miskin,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dalam konteks Perak, Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak menyarankan Yayasan Bina Upaya (YBU) menghantar makanan yang disenarai sebagai bekalan banjir sebelum ini ke rumah penduduk kurang kemampuan.

Mengenai barangan yang tidak mempunyai tarikh luput seperti kain pelikat, selimut dan lampin bayi, Tajuddin berkata ia boleh terus disimpan di pangkalan hadapan untuk persediaan menghadapi banjir pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengarah JKM Perak Rosmahwati Ishak berkata pihaknya tidak menyimpan sebarang bekalan makanan di dalam depoh mini yang disediakan khusus untuk menghadapi banjir.

Katanya JKM Perak mempunyai tiga depoh mini iaitu satu di sebuah bangunan di Taman Seri Puteri, Batu Gajah, manakala dua lagi berbentuk kontena di pejabat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Kinta dan di Sekolah Tunas Bakti, Taiping.

“Selain itu, kita juga mempunyai 10 lagi stor menyimpan bekalan banjir di setiap Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah.

“Semua mini depoh dan stor ini menempatkan barang keperluan bencana seperti tikar, selimut, kain batik dan ‘Mobile Flexible Partition’ sejenis pembahagi yang berfungsi menyediakan ruang privasi untuk keluarga,” katanya.

Rosmahwati semua barangan itu dipantau rapi dan dikemas kini setiap bulan untuk memastikan ia mencukupi serta boleh diguna jika berlaku keperluan pada masa akan datang.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");