Membawang Hari Ini

Marx imbau nostalgia bersama peminat

Tiada siapa dapat menidakkan kehebatan penyanyi dan komposer terkenal, Richard Marx apabila beraksi di pentas mahupun konsert. Malah, pada usia 52 tahun, vokal penyanyi kelahiran Chicago, Amerika Syarikat ini tetap sehebat era kegemilangannya dulu.

Justeru, tidak hairanlah konsert solonya, Richard Marx Jelajah Asia 2016 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada tanggal 9 Mac lalu berjaya memukau kira-kira 3,500 penonton yang membesar dengan lagu-lagunya.

Marx mengakui dia sangat teruja setiap kali mengadakan konsert jelajah di Malaysia.

“Sebagai penghibur, saya berasa sangat dekat dengan peminat di Kuala Lumpur. Sebenarnya, sudah lima kali saya menjayakan konsert di negara ini. Saya teruja setiap kali bertemu peminat setia di sini dan berharap konsert solo ini dapat mengubat kerinduan mereka,” katanya.

Sudah namanya penghibur profesional, Marx bukan sahaja menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu popularnya malah turut membawa penonton mengimbau nostalgia setiap lagu yang disampaikan pada malam itu.

Antaranya, Marx turut berkongsi pengalaman menarik ketika mencipta lagu untuk kumpulan Nsync, This I Promise You yang sangat popular dan digilai golongan muda.

“Saya masih ingat lagi, kami terpaksa mencari studio yang jauh dan tersorok daripada orang ramai untuk mengelak tempat itu diketahui peminat fanatik wanita.

“Namun, peminat wanita tetap dapat menghidu lokasi studio itu dan sanggup menunggu lama untuk bertemu ahli kumpulan Nsync, walaupun proses rakaman lagu ini berakhir pada jam 4 pagi. Anggota Nsync terpaksa keluar ikut pintu belakang untuk mengelak diserbu peminat wanita yang masih menunggu di luar,” katanya.

Bukan mudah beraksi di pentas secara solo tanpa bantuan ramai pemuzik, namun Marx berjaya membuktikan kehebatannya membuat persembahan dengan iringan piano dan gitar di pentas.

Dia juga nampak lincah dan bertenaga seperti anak muda ketika beraksi sedangkan usianya sudah mencecah 50-an.

“Ada pihak media dan peminat bertanya apa rahsia saya kekal bertenaga? Jawapannya mudah saja, jaga pemakanan dan kerap bersenam,” katanya.

Marx juga bijak memilih lagu dengan mendendangkan karya hitnya termasuk lagu baru daripada album kelapannya, Beautiful Good Bye.

“Tidak dinafikan dalam mana-mana konsert pun, peminat mahu saya menyampaikan lagu hits tetapi tidak salah jika saya menyelitkan satu atau dua lagu baru. Just Go daripada album Beautiful Good Bye dihasilkan pada 8 Julai 2014,” katanya.

Pada malam cukup bermakna itu, Marx menghiburkan pengikut setianya dengan lagu Endless Summer Nights, Take This Heart, Keep Coming Back, Hazard, Save Me, Turn Off The Night, Dance With My Father Again, This I Promise You, Satisfied, Don’t Mean Nothing dan Should’ve Known Better.

Penonton turut berpeluang menyaksikan persembahan istimewanya ketika menyampaikan lagu Angelia secara ‘unplugged’. Bagi melengkapkan lagi persembahannya, Marx me­nyampaikan lagu paling dinanti ramai iaitu Now and Forever dan Right Here Waiting sambil memetik piano dengan disambut tepukan gemuruh penonton.

Tiga anak lelaki ikut jejak ceburi bidang muzik

Sebagai bapa, Marx sangat berbangga apabila anak mengikut jejaknya menceburi bidang muzik. Hasil perkongsian hidup dengan bekas isteri, aktres Cynthia Rhodes, 59, Marx memiliki tiga anak lelaki iaitu Brandon, 25, Lucas, 23 dan Jesse, 22. Malah, Marx turut menayangkan rakaman video anak-anaknya bermain alat muzik di skrin sekali gus mengiringi persembahannya ketika mendendang­kan lagu Save Me pada malam itu.

Ketika ditemui pada sidang media yang berlangsung di KL Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini, Marx berkata, hubungannya dan anak-anak sangat rapat.

“Saya tidak pernah menghalang mereka menceburi bidang muzik dan sentiasa menyokong mereka. Pada pandangan saya, mereka berbakat. Lucas lebih meminati genre muzik R&B dan Jesse pula ‘heavy metal’.

“Bila ada kelapangan, kami akan berlatih bersama di rumah apabila saya menyanyi dan mereka bermain alat muzik,” katanya.

Sesibuk manapun merencana karier muziknya, kata Marx yang dikenali dengan muzik romantis ini, dia tetap memastikan keluarganya tidak terabai.

“Saya baru saja berkahwin dan isteri baru saya juga hebat orangnya.

Bila ada kelapangan, kami akan bercuti ke tempat yang indah dan meluangkan masa bersama anak-anak,” katanya.

Tiga dekad berkecimpung dalam bidang muzik, jualan album Marx sudah terjual sebanyak 30 juta unit di seluruh dunia. Bermula dengan single yang dihasilkan sendiri, penyanyi hebat ini terus melakar kejayaan demi kejayaan.

Selepas meletakkan dirinya pada tangga kelapan carta serta memonopoli empat kedudukan daripada Top 5 Single, Marx turut dicalonkan dalam kategori Persembahan Lelaki Rock Vokal Terbaik Anugerah Grammy menerusi lagu hitnya, Hold On To The Nights dan Don’t Mean Nothing pada 1988.

Menyusul selepas itu, albumnya, Repeat Offender berjaya berada di kedudukan teratas di kategori platinum dengan dua single popular iaitu Satisfied dan Right Here Waiting pada 1989.

Lebih memberangsangkan, kedua-dua albumnya Rush Street (lagu hit Keep Coming Back dan Hazard) dan Paid Vacation (Now and Forever) meraih platinum sekali gus meletakkan Marx pada tangga teratas selama tujuh tahun berturut-turut sekali gus menempa nama dalam sejarah pop rock.

Sehingga kini, Marx satu-satunya artis lelaki dalam sejarah yang berjaya menempatkan diri dalam Top 5 carta Billboard dengan tujuh single.

Konsert ini dianjurkan Fat Boys Malaysia dengan kerjasama Malaysia Major Events, Kementerian Pelancongan, Prestige dan Lite FM.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");