Membawang Hari Ini

Nad selesa diurus suami

Selepas berkahwin pada 18 Disember tahun lalu, pelakon Nad Zainal, 26, kini lebih selesa diuruskan suaminya, Muhammad Faliq Amirudin, 28, dalam urusan kerja.

Menurut Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, sikap suaminya yang tegas dan berdisiplin membuatkan dia lebih yakin bekerja dengan lelaki itu.

“Sebab utama saya mahu dia menjadi pengurus kerana sikapnya yang menepati masa dan tegas dalam segala hal. Saya yakin dia dapat mendidik dan mengubah cara kerja saya menjadi lebih baik dan terurus.

“Sebelum ini saya memang gagal apabila membabitkan pengurusan masa. Dengan adanya suami, dia memantau semuanya. Pendek kata, dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan dan kesihatan miliknya, Audele by Nad Zainal di sebuah hotel di Kuala Lumpur, kelmarin.

Bagi Faliq pula, dia tidak menetapkan sebarang tempoh atau jangka waktu dia perlu mengurus isterinya itu.

Faliq yang juga bekerja sambilan sebagai pengarah seni mengakui terpaksa menolak tawaran kerja dalam bidang berkenaan semata-mata mahu membantu Nad.

“Buat masa sekarang saya ada di belakang karier isteri. Kalau nak cakap sampai bila, saya pun tidak tahu. Perkara itu belum difikirkan lagi.

“Bukan apa, sebagai suami yang kini menjadi pengurusnya, saya tidak mahu dia terus berlakon. Sebaliknya kami sudah ada perancangan lain, tetapi masih berkaitan dengan bidang seni,” katanya.

Faliq berkata, perancangan terbabit bukan kerana tidak suka isterinya berlakon, tetapi dia mahu isterinya melangkah lebih jauh dalam bidang seni sebagai pengarah dan penerbit.

“Kami berkenalan ketika masih belajar lagi dan dia adalah ‘junior’ saya. Jadi apabila dia menjadi pelakon dan sehinggalah kami berkahwin, saya tidak kisah. Malah jauh sekali nak menghalang minatnya itu.

“Sekiranya dia mendapat sebarang tawaran, saya hanya bertanya adakah drama atau filem itu bagus dan sesuai untuknya. Saya tidak pernah campur ta­ngan mengenai watak apa yang sesuai dengannya,” katanya.

Apabila sudah bergelar pengurus, mahu atau tidak Faliq juga perlu berada di majlis atau acara hiburan.

“Setakat ini saya tidak ada masalah mengikutnya menghadiri acara hiburan.Pada mulanya memang kekok, tetapi lama-kelamaan ia okey saja.

“Sebenarnya sebelum kami berkahwin lagi Nad selalu cakap saya perlu belajar dan bersedia semua perkara itu,” katanya.

Nad berkata, perniagaan ialah satu daripada perancangan masa depannya dan jika dia sudah tidak aktif berlakon satu hari nanti, bidang itu akan menjadi keutamaannya.

Bubar kelab peminat

Kontroversi membabitkan hubungannya dengan kelab peminat Nad Zainal Lovers tahun lalu membawa kepada pembubaran kelab itu.

“Saya tidak mahu terus bersikap berpura-pura apabila bersama mereka dalam setiap majlis yang dianjurkan. Ini kerana saya memang bukan jenis sebegitu yang suka menghabiskan waktu dengan peminat.

“Saya juga tidak mahu menjanjikan sesuatu yang belum pasti. Namun saya menghargai setiap sokongan dan usaha mereka sepanjang tiga tahun bersama.

“Diakui sebelum ini saya pernah mengecewakan mereka, jadi keputusan membubarkan kelab peminat itu adalah tepat. Sekarang, saya lebih selesa melakukan apa yang saya suka,” katanya.

Justeru, ketika ini Nad sekadar mahukan peminat menyokong dan meminati lakonannya tanpa perlu bersusah payah mengadakan sebarang aktiviti.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");