Jenayah

Panik bayi mati

Kuala Lumpur: Wanita yang mencampakkan bayinya baru dilahirkan melalui ruang menjemur kain di bahagian dapur rumah di tingkat 18, Pangsapuri Danau Kota, di sini, kelmarin, didakwa melakukan tindakan itu kerana panik serta menyangka bayi itu sudah mati.

Difahamkan suspek wanita berusia 39 tahun ditahan reman enam hari bermula semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Mohd Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek wanita itu ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan kerana membunuh anaknya.

“Suspek masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan berada dalam keadaan stabil.

“Begitupun, pihak kami masih gagal mengesan suami suspek yang juga seorang ejen hartanah. Siasatan mendapati suspek dalam proses perceraian dengan suaminya. Dia dipercayai tidak berjumpa dengan suaminya sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan seorang wanita disyaki mencampakkan bayi baru dilahirkannya di dalam tandas di kediamannya.

Kejadian disedari penduduk pada jam 8.30 pagi apabila melihat mayat bayi perempuan baru dilahirkan terbaring di kawasan lapang di pangsapuri.

Menurut pasangan suami isteri yang tinggal serumah dengan suspek, mereka dikejutkan dengan jeritan suspek yang berada di dalam bilik air pada jam 3 pagi kelmarin.

Bagaimanapun, pasangan itu tidak menyedari suspek membuang bayi ke tingkat bawah pangsapuri.

Suspek dikatakan menyewa bilik di pangsapuri itu bersama anak perempuan berusia lima tahun sejak November tahun lalu.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");