Panasnya Hari Ini

Peguam Negara Perlu Dipisahkan Dari Kuasa Pendakwaan

Foto:-Free Malaysia Today

KUALA LUMPUR: Bagi menjamin tugas pendakwaan jenayah sentiasa adil dan bebas daripada pengaruh politik, Transparency International-Malaysia (TI-M) menggesa agar tugas Pendakwa Raya dipisahkan daripada bidang kuasa Peguam Negara.

Presiden TI-M, Datuk Akhbar Satar berkata, tugas Pendakwa Raya juga perlu diletakkan dibawah Parlimen dan bukannya pihak eksekutif.

“Pada masa ini, Peguam Negara adalah juga Pendakwa Raya dan ini membangkitkan kerisauan dan kewibawaan bagi memastikan keadilan jenayah dikuatkuasa secara adil dan saksama.

“Maka tugas Pendakwa Raya ini perlu dipisahkan daripada bidang kuasa Peguam Negara. Pemisahan kuasa ini akan menjadi semak dan imbang yang akan menjamin tugas pendakwaan boleh dibuat tanpa takut dan terlindung daripada campur tangan politik,”ujarnya, lapor Free Malaysia Today.

Ujarnya lagi, tindakan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali untuk tidak meneruskan pendakwaan berhubung isu derma RM2.6 bilion dan SRC International telah menimbulkan pertikaian banyak pihak terhadap kewibawaan Peguam Negara dalam melaksanakan tanggungawab.

Akhbar berkata, sistem keadilan yang ada hanya memerlukan calon Peguam Negara mendapatkan keyakinan daripada Perdana Menteri, bukannya sistem kehakiman dan rakyat.

“Ini membuka ruang untuk keputusan yang tidak sepatutnya dibuat berhubung kes yang melibatkan individu berprofil tinggi. Penghakisan kebebasan Peguam Negara ini telah merosotkan sistem pendakwaan.

“Pemusatan kuasa oleh seorang individu atau badan kerajaan tidak boleh berlaku. Sejak dari dulu, inilah yang menjadi ancaman terbesar kepada kebebasan sebuah negara,”tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");