Berita Hari Ini

Pelajar India lepasan SPM, STPM digesa manfaat peluang

SHAH ALAM – Pelajar kaum India lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) digesa memanfaatkan semua peluang yang disediakan oleh kerajaan untuk melanjutkan pelajaran.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk P Kamalanathan berkata, kementeriannya menawarkan banyak tempat kepada pelajar India dalam institusi pengajian tinggi tetapi tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan.

“Sebagai contoh pada tahun lepas, kementerian menawarkan tempat ke matrikulasi kepada seramai 2,100 pelajar India, tetapi hanya 1,420 sahaja yang mendaftar.

“Bagi kemasukan ke politeknik di seluruh negara, seramai 4,000 pelajar (India) ditawarkan tetapi hanya 2,000 mendaftar,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Karnival Hala Tuju Peluang Pendidikan Lepasan SPM dan STPM di sini, hari ini.

Karnival berkenaan disempurnakan oleh Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Sehubungan itu, Kamalanathan berharap, jumlah pelajar kaum India yang menerima tawaran dan mendaftar ke institusi pengajian tinggi pada tahun ini akan meningkat.

Sementara itu, mengulas mengenai isu seorang pelajar tahun enam di sebuah sekolah rendah di Sungai Petani, Kedah yang dipukul oleh guru kerana lewat ke sekolah, Kamalanathan berkata, pihaknya sedang menyiasat perkara berkenaan.

“Guru tidak sepatutnya menggunakan kekerasan terhadap pelajar walau apa pun kesalahan pelajar itu. Guru sepatutnya berbincang dengan ibu bapa atau penjaga jika seseorang pelajar itu mempunyai masalah disiplin, bukan memukul,” katanya.

Pada Rabu lepas, seorang guru didakwa menumbuk, memijak dan mencekik seorang pelajar lelaki kerana lewat ke sekolah.

Guru itu kemudian didakwa memberi RM2 kepada pelajar itu supaya tidak melaporkan perkara berkenaan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");