Jenayah

Pencuri lembu kantoi

TANGKAK: Polis kini giat mengesan tujuh suspek terlibat menyamun 53 lembu di Kampung Simpang Bekoh, di sini, 16 Februari lalu.

Ketua Polis Tangkak, Superintendan Mohamad Salleh Abd Razak berkata, semua suspek berusia antara 20-an hingga 40-an itu sudah dikenal pasti selepas seorang daripada mereka, diberkas 22 Februari lalu di Kandang, Melaka.

“Suspek mengaku terbabit dalam kes samun itu bersama lima lelaki tempatan lain dan dua lelaki warga Indonesia,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Beliau berkata, suspek yang ditahan kemudian membawa anggota polis ke satu pusat ternakan di Kampung Balik Pulau, Bukit Katil.

“Di situ, kami menemui 20 lembu jantan dipercayai disamun di Kampung Simpang Bekoh di sini, 16 Februari lalu.

“Kami juga menahan dua lelaki yang membeli lembu-lembu itu,” katanya.

Salleh berkata, hasil siasatan awal, suspek mendakwa melarikan 27 lembu, bukan 53 lembu seperti didakwa mangsa.

“Selain itu, suspek mendakwa tujuh daripada 27 lembu itu disembelih keesokan harinya, manakala baki 20 lagi dijual kepada dua pembeli berkenaan dengan harga RM53,500.

“Susulan siasatan itu, kami turut merampas 61 kambing di kandang pembeli lembu curi itu di Jalan Bukit Lintang, Melaka,” katanya.

Menurutnya, suspek mendakwa semua kambing itu dicuri dari sebuah ladang di Jasin, Melaka.

Katanya, suspek masih ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau membeli daging lembu dengan harga murah supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Pada 16 Februari lalu, seorang penjaga lembu melalui detik cemas apabila diikat kaki dan tangan, selain dipukul dengan kayu dalam kejadian samun di Kampung Simpang Bekoh di sini. Mangsa, Mohd Amadi Ali, 23, diikat selama empat jam.

Kata mangsa, penyamun turut melarikan lori tiga tan.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");