Panasnya Hari Ini

Penggantungan Jawatan Muhyiddin Demi Kesempurnaan Perjalanan Parti- Ku Nan

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa keputusan penggantungan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO dibuat mengikut perlembagaan parti.

Tambahnya lagi, tindakan itu diambil adalah demi kesempurnaan perjalanan parti.

Ujarnya lagi, penggantungan jawatan Muhyiddin dibuat di bawah kuasa sedia ada dan lebihan (residual powers) Majlis Tertinggi (MT) seperti di dalam Fasal 10.15.

“Manakala fasal 9.12 Perlembagaan UMNO adalah berkenaan ‘pelucutan jawatan’ mana-mana Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Ia berbeza dengan penggantungan jawatan membabitkan Muhyiddin,” katanya memetik sumber laporan Bernama semalam.

Terdahulu, MT UMNO pada Jumaat lepas sebulat suara membuat keputusan menggantung jawatan Muhyiddin berkuat kuasa serta merta sehingga pemilihan MT akan datang.

Keputusan itu diambil selepas MT berpuas hati Muhyiddin gagal menjalankan tugasnya sebagai timbalan presiden mengikut fasal 9.8.1 Perlembagaan parti dan tugas-tugas timbalan presiden kini dijalankan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Manakala pada sidang media khas semalam, Muhyiddin mendakwa penggantungan jawatannya itu tidak mengikut prosedur dan perlembagan parti dan berikutan itu beliau akan merujuk perkara berkenaan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Mengulas mengenai perkara itu tegas Adnan, MT UMNO merupakan badan keputusan tertinggi di dalam ketiadaan Perhimpunan Agung Tahunan dan ini jelas di dalam Fasal 9.1 Perlembagaan UMNO.

“Apa jua keputusan Majlis Tertinggi akan dimaklumkan kepada Perhimpunan Agung bila tiba masanya,” katanya.

Tambahnya mengikut Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, pertikaian atau keputusan parti tidak boleh dicabar di mahkamah manakala Seksyen 16 Akta Pertubuhan ialah berkenaan pertikaian sesama ahli atau kalangan ahli.

“Ia tidak terangkum dalam kes penggantungan jawatan Muhyiddin,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");