Membawang Hari Ini

Po, bapa kandung disatukan

Menjelang musim cuti sekolah, pawagam di tanah air menyajikan pelbagai filem menarik untuk ditonton seisi keluarga.

Pastinya, antara filem dinanti-nantikan adalah animasi Kung Fu Panda 3 yang bakal menemui penonton pada 10 Mac ini.

Seperti dalam dua filem sebelumnya, animasi terbitan DreamWorks Animation ini mengisahkan panda bernama Po yang mahir dalam seni pertahanan diri Kung Fu.

Bercirikan budaya masyarakat negara China, sekuel ketiga ini lebih mendebarkan apabila Po bakal disatukan dengan bapa kandungnya.

Pada masa sama, Master Shifu menyatakan hasrat ingin bersara dan mengamanahkan tugasan mendidik anak muridnya kepada Po.

Namun Po merasakan tugas sebagai guru mencabar kerana menyebabkan anggota Furious Five cedera.

Kemudian, Po bersama bapa kandungnya menjelajah ke sebuah perkampungan dan menemui banyak panda dengan perwatakan berbeza serta lucu.

Pada masa sama, perkampungan Valley of Peace diserang musuh kuat bernama Kai yang mampu menarik kuasa ‘Chi’ daripada semua guru Kung Fu.

Watak Kai menggunakan suara pelakon dan pemenang Oscars, JK Simmons.

Sekuel ini masih mengekalkan barisan pelakon latar suara iaitu Jack Black (Po), Angelina Jolie (Tigress), Dustin Hoffman (Master Shifu), Jackie Chan (Monkey), Lucy Liu (Viper), Seth Rogen (Mantis) dan Michelle Yeoh (Soothsayer).

Belanja kanak-kanak tonton Kung Fu Panda 3

Terdapat beberapa negara yang lebih awal menayangkan Kung Fu Panda 3 di pawagam antaranya Amerika Syarikat, China, Korea Selatan dan Russia pada Januari lalu.

Berikutan itu, Black yang memegang watak sebagai hero panda Po menjemput 20 kanak-kanak untuk menyaksian prebiu Kung Fu Panda 3 di kediamannya, baru-baru ini.

Acara itu dilangsungkan atas permintaan anak Black, Thomas, 7, yang ingin menyaksikan Kung Fu Panda 3 bersama rakan sekolahnya sebelum animasi berkenaan ditayangkan di Amerika Syarikat.

Lebih manis, anak lelaki bintang Goosebumps itu, Sammy, 9, turut menyumbangkan suaranya untuk watak seekor arnab dalam Kung Fu Panda 3.

Menurut Black, kedua-dua anak lelakinya bangga dirinya membawa watak Po yang diminati ramai.

“Kami mengadakan acara tayangan perdana khas untuk anak bersama rakan sekolah mereka. Seronok betul dapat berkongsi pengalaman itu bersama mereka.

“Anak sulung saya sememangnya teruja apabila turut diberi peluang menjadi latar suara salah seekor arnab,” katanya.

Pelakon itu turut mendedahkan karakter dimiliki Po menjadi inspirasi kepadanya untuk sentiasa mengekalkan jiwa sebagai orang muda.

“Po seperti saya cuma dia lebih muda dan naif. Setiap kanak-kanak ada minat tersendiri terhadap sesuatu dan Po pula menggemari seni pertahanan diri.

“Kanak-kanak suka mahu melakukan perkara yang menyerokonkan dan saya tidak mahu perasaan seperti itu hilang,” katanya.

Sambutan luar biasa di China

Perkembangan terbaru Kung Fu Panda 3, animasi itu berjaya mencatatkan kutipan jualan tiket mencecah RM616.12 juta di China selepas tayangan pada 29 Januari lalu.

Filem itu berjaya mengatasi animasi China, Monkey King: Hero is Back yang ditayangkan di negara itu pada Julai tahun lalu.

Gabungan jualan ketiga-tiga sekuel francais Kung Fu Panda kini mencatatkan kutipan RM6.62 juta.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");